dailyvideo

Shahrir Tidak Bertanding Jawatan MT, Tumpu Kawasan Parlimen

JOHOR BAHARU, 18 Ogos -- Ketua Umno Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak berhasrat bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada kawasan Parlimen yang  diwakilinya.

"Saya tidak ada menyimpan cita-cita untuk bertanding MT pada pemilihan kali ini kerana saya sibuk sebelah sini (kawasan Parlimen Johor Baharu). Saya rasa
ramai lagi pemimpin peringkat pusat yang berwibawa mempunyai idea baharu dan lebih bertenaga bagi menerajui politik peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Baharu di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu di sini hari ini.

Pada masa yang sama beliau meminta mereka yang menawarkan diri untuk bertanding tidak berdendam sesama sendiri sama ada menang atau kalah.

"Dalam pertandingan, asasnya bukan kita mengukur diri sendiri tetapi mereka yang ramai mengukur diri kita," katanya.

Di MUAR, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim menafikan khabar angin beliau akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan Oktober nanti.

Beliau berkata khabar angin itu dibuat oleh pihak tertentu ekoran keputusannya menangguhkan pengumuman bertanding sebarang jawatan kerana menganggap masih terlalu awal baginya untuk berbuat demikian. 

Razali, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bagaimanapun berkata beliau bersedia mempertimbangkan untuk bertanding jawatan anggota MT Umno kerana berpendapat jawatan itu perlu diisi dengan gandingan muka baharu dan lama bagi memastikan demokrasi dalam parti terus subur.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah Bangunan St John Ambulans Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu di KULIM, Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai anggota MT Umno pada pemilihan parti itu nanti.

Abdul Aziz berkata setelah lima tahun berusaha untuk menjadi seorang Anggota Parlimen dan berjaya pada pilihan raya umum yang lalu, beliau akan menggunakan platform itu sebagai asas perjuangannya untuk memajukan kawasan diwakilinya.

"Saya akan berjuang khususnya menyuarakan pendapat mengenai pembangunan di negeri Kedah," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan dan bacaan Yasin untuk 51 buah sekolah menengah dan rendah dalam Parlimen Kulim/Bandar Baharu di sini hari ini.

Mengenai pembangunan di kawasannya, Abdul Aziz berkata beliau merancang

menjadikan kawasan pekan Mahang dekat sini sebagai bandar pusat ilmu, manakala Karangan yang mempunyai kawasan peranginan terkenal seperti 'Tree Top Walk' dan Arus Deras Sungai Sedim sebagai lokasi baharu program perumahan kedua kepada pelancong asing.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:13 am. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Shahrir Tidak Bertanding Jawatan MT, Tumpu Kawasan Parlimen

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily