dailyvideo

PAIM Kaji Mekanisme Untuk Kenakan Bayaran Kepada Kenderaan Asing Dari Singapura

NUSAJAYA, 22 Ogos -- Pasukan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) sedang mengkaji pendekatan dan mekanisme sesuai untuk mengenakan bayaran kepada kenderaan asing dari Singapura yang memasuki negara ini menerusi bandar raya Johor Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata langkah itu akan dapat mengurangkan kesesakan di pintu masuk ke bandar raya Johor Baharu sekali gus meningkatkan peratusan penggunaan pengangkutan awam yang kini pada kadar hanya 14 peratus.

"Hasil kutipan bayaran tersebut dapat digunakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur, operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik, menarik dan selesa," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di sini, hari ini.

Hasni berkata ia juga merupakan perancangan pengurusan permintaan jangka panjang yang menjurus kepada pengawalan kemasukan kenderaan asing yang menambah isi padu jalan sedia ada dan menyebabkan kesesakan.

Katanya kadar penggunaan kenderaan persendirian di jalan-jalan utama yang tinggi pada masa kini memerlukan penyelesaian strategik dan sehubungan itu
penyediaan infrastruktur pengangkutan awam yang lengkap akan mengubah persepsi masyarakat terutamanya di Iskandar Malaysia untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata Agro Johor yang menggabungkan pameran pengusaha pertanian di negeri ini akan diadakan di Pusat Pertanian Moden Ayer Hitam dekat Kluang, pada akhir November depan.

Beliau berkata berikutan itu, lima daerah akan dipilih untuk penganjuran mini Agro Johor mulai bulan depan sehingga November bagi mempromosikan sektor terbabit.


"Melalui penganjuran ini, pengusaha di sektor pertanian dapat mempamerkan kecemerlangan produk masing-masing dan masyarakat sendiri boleh melihat bahawa pertanian adalah perniagaan. Para pengusaha juga dapat dibantu bagi mewujudkan rangkaian niaga masing-masing di setiap daerah menerusi pameran itu," katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:44 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for PAIM Kaji Mekanisme Untuk Kenakan Bayaran Kepada Kenderaan Asing Dari Singapura

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily