dailyvideo

Lima Fokus Utama Hasil Kajian Suara Hati Johor


NUSAJAYA, 19 Ogos -- Johor mengenal pasti lima fokus utama yang akan diberi tumpuan hasil kajian 'Suara Hati Johor' yang dilaksanakan sebagai pendekatan untuk mendapatkan maklum balas dalam usaha merakyatkan kerajaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lima fokus yang berdasarkan kehendak rakyat negeri ini membabitkan perumahan; keselamatan; agama; infrastruktur dan ekonomi yang akan diberi perhatian yang serius.

"Kajian Suara Hati Johor adalah usaha kerajaan negeri sebagai pendekatan untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat bagi bersama-sama merakyatkan kerajaan, memperkasa muafakat Johor antara kerajaan dan rakyat serta melestarikan pembangunan prorakyat.

"Kajian ini dijalankan dari 17 Jun hingga 24 Julai lalu membabitkan sembilan penyelidik, tiga pegawai penyelidik dan seramai 70 mahasiswa yang diuruskan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membabitkan peruntukan sejumlah RM200,000," katanya.

Mohamed Khaled menjawab soalan lisan Tan Chen Choon (DAP-Jementah) pada persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-13 di Kota Iskandar hari ini.

Katanya bagi setiap tumpuan itu, makmal-makmal akan dibentuk dan akan dipengerusikan oleh anggota Exco kerajaan negeri selain mengadakan usahasama antara agensi berkaitan bagi merangka polisi terbaik dan merancang pelaksanaan berkesan sesuai dengan keprihatinan rakyat.

"Sebagai contoh bagi tumpuan perumahan, satu pasukan khas sudah dibentuk
untuk merungkai permasalahan perumahan sama ada rumah mampu milik atau selainnya di Johor," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) yang menyifatkan pelaksanaan kajian terbabit seakan-akan membelakangi tugas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih oleh rakyat, Mohamed Khaled berkata kajian itu adalah sebagai penglibatan secara langsung kerajaan dengan rakyat.

"Menerusi kajian ini, hubungan antara rakyat dan kerajaan akan terus berlangsung kerana perlu ada ketetapan berdasarkan naluri rakyat, kelangsungan hubungan dengan rakyat dan saya percaya jika ada hubungan ini ia bertepatan dengan kehendak rakyat," katanya.


Beliau berkata pelaksanaan apa saja perkara yang dikenal pasti melalui kajian itu nanti akan membuktikan kerajaan berkemampuan melaksanakan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 2:36 am. Fail ini , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Lima Fokus Utama Hasil Kajian Suara Hati Johor

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily