dailyvideo

Klinik Kesihatan Baru Dibina Di Yong Peng Untuk Tampung Keperluan Penduduk


NUSAJAYA, 22 Ogos -- Sebuah klinik kesihatan sedang dibina di Yong Peng, dekat Batu Pahat sebagai keperluan untuk penduduk kawasan berkenaan sekaligus meningkatkan taraf kesihatan mereka, kata anggota exco Johor Datuk Ayub Rahmat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor itu berkata pembinaan klinik berserta kuarters untuk menggantikan klinik sedia ada telah diluluskan tahun ini dan akan dilaksanakan secara berfasa.

"Kementerian Kesihatan belum bercadang untuk membina sebuah hospital di Yong Peng memandangkan sudah ada hospital pakar major iaitu Hospital Sultanah Nora Ismail di bandar Batu Pahat untuk menampung keperluan penduduk di daerah itu.

"Yong Peng juga terletak berdekatan dengan Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang yang bertaraf pakar minor. Bagaimanapun, hasil tuntutan Anggota Dewan Undangan Negeri Yong Peng sebelum ini, maka kerajaan meluluskan pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Ayub berkata fasa pertama klinik kesihatan itu melibatkan kerja-kerja tanah manakala fasa kedua pula melibatkan pembinaan bangunan klinik dan kuarters.

Beliau berkata kerja-kerja tanah dan yang berkaitan telah dimulakan 2 Mei lepas dan dijangka siap 1 Okt ini manakala fasa dua untuk kerja pembinaan bangunan pula akan dimulakan sebaik fasa pertama selesai.

Sementara itu, mengenai kejadian tebing runtuh di Sungai Tanjung Emas, dekat Muar, Ayub berkata kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk melaksanakan projek Waterfront The Tebing Sungai Mall, Parcel 1 di sungai itu.

Beliau berkata projek itu dijadual bermula tahun depan hingga 2015 dan akan meliputi kajian, reka bentuk terperinci, penstabilan tebing, pembinaan waterfront serta pengindahan tebing sungai.


Ayub berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk  kerja-kerja pengawalan hakisan di sepanjang pantai di Senggarang, dekat Batu Pahat.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:56 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Klinik Kesihatan Baru Dibina Di Yong Peng Untuk Tampung Keperluan Penduduk

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily