dailyvideo

Kerajaan Johor Jamin Rakyat Di Kawasan Pembangkang Terima Peruntukan Sewajarnya


NUSAJAYA, 20 Ogos -- Kerajaan Johor memberi jaminan semua rakyat di negeri itu akan menerima peruntukan pembangunan sewajarnya walaupun kawasan mereka diwakili oleh pembangkang.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan bagi setiap dewan undangan negeri (DUN) itu akan disalurkan menerusi Pejabat Menteri Besar.

"Sebelum ini peruntukan tersebut disalurkan melalui pegawai khas yang dilantik di setiap kawasan DUN yang dimenangi pembangkang.

"Sekarang ini kita tiada peruntukan khas untuk Adun tetapi ada peruntukan menerusi Pejabat Menteri Besar yang menerima apa-apa sahaja permohonan. Jadi, semua Adun boleh kemukakan permohonan dan saya akan berikan pertimbangan sewajarnya," katanya pada persidangan pertama DUN Johor ke-13, di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) berhubung peruntukan khas bagi menjalankan pembangunan di setiap kawasan DUN.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pelancongan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata terdapat 10 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh Johor ketika ini.

Beliau berkata dua daripadanya terletak di Johor Baharu dan masing-masing satu di Pasir Gudang, Muar, Pontian, Kota Tinggi, Segamat, Mersing, Tangkak dan Kluang.

Katanya, sambutan rakyat terhadap KR1M sangat menggalakkan kerana barangan yang ditawarkan 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran dengan tawaran 250 barangan di bawah jenama KR1M.
"Kerajaan juga mengeluarkan produk Co-op 1Malaysia dengan 137 jenis barangan kini dipasarkan di koperasi-koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan tawaran harga antara 30 hingga 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran," katanya.


Beliau menjawab soalan Teoh Yap Kun (BN-Paloh).

Dikemaskini oleh Johor daily pada 1:28 am. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Kerajaan Johor Jamin Rakyat Di Kawasan Pembangkang Terima Peruntukan Sewajarnya

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily