dailyvideo

JAJ Kesan Lebih 1000 Pengikut Syiah Di Johor Baharu, Kluang


NUSAJAYA, 20 Ogos -- Jabatan Agama Johor (JAJ) mengesan kewujudan lebih 1,000 pengikut Syiah di negeri itu dengan kebanyakan mereka bergiat aktif di sekitar Johor Baharu dan Kluang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim berkata JAJ  sedang memantau pergerakan kumpulan itu bagi membendung penyebaran fahaman berkenaan.

"Di Johor Baharu, mereka dikesan di tiga markas iaitu di Larkin Perdana, Taman Daya dan Kampung Sungai Tiram," katanya menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) pada persidangan pertama Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Abd Mutalip berkata markas di Kampung Sungai Tiram dipercayai paling aktif manakala dua lagi markas tidak begitu aktif.

Katanya sepanjang tahun lepas JAJ melaksanakan 18 pemantauan bagi membendung penyebaran fahaman Syiah.

Sementara itu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor tidak bercadang  mengambil alih penjagaan gelanggang futsal yang dibina di negeri ini bagi membolehkan persatuan berkenaan memperoleh pendapatan menerusi bayaran penggunaan kemudahan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata sudah menjadi dasar kementerian bahawa setiap
gelanggang futsal di seluruh negara ditadbir oleh persatuan belia melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani.

"Kerajaan berharap kaedah ini dapat membantu setiap persatuan yang diberi tanggungjawab untuk memperolehi hasil pendapatan daripada pengguna yang menggunakan kemudahan gelanggang terbabit.

"Selain daripada itu, kerajaan juga berharap ia akan dapat mendidik persatuan tersebut berdikari serta memahami dan mempelajari aspek pengurusan secara lebih berkesan daripada kemudahan yang sudah disediakan ini," katanya menjawab soalan Datuk Dr Adham Baba (BN-Pasir Raja).

Menurutnya persatuan yang menguruskan gelanggang terbabit juga akan bertanggungjawab atas kos penyelenggaraan jika berlaku kerosakan kecil dengan menggunakan duit tabung hasil kutipan sewa kemudahan itu.

"Bagi kerosakan yang serius Jabatan Belia dan Sukan Johor mengarahkan Pejabat Belia dan Sukan di setiap daerah untuk membuat lawatan, pemantauan ke atas pengurusan gelanggang serta membuat anggaran kos kerosakan.


"Jabatan Belia dan Sukan negeri juga sudah menghantar permohonan peruntukan bagi kerja baik pulih kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk tindakan lanjut," katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 1:21 am. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for JAJ Kesan Lebih 1000 Pengikut Syiah Di Johor Baharu, Kluang

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily