dailyvideo

ADUN Mengkibol Akan Dirujuk Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

NUSAJAYA, 22 Ogos  -- Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Mengkibol Tan Hong Pin akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor atas alasan membawa masuk orang luar tanpa kebenaran ke dalam dewan persidangan hari ini.

Speaker DUN Johor Datuk Mohamad Aziz berkata usul itu dibawa Datuk Dr Adham Baba (BN-Pasir Raja) selepas melihat Tan yang merupakan wakil rakyat DAP bersama seorang individu berada di dalam dewan persidangan ketika sidang dewan ditangguhkan sementara untuk makan tengah hari pada pukul 1.30 tengah hari.

"Hal ini akan dirujuk ke jawatankuasa terbabit pada pertengahan bulan depan selepas saya pulang daripada menghadiri Persidangan Speaker Negara-Negara Komanwel di Afrika Selatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata jawatankuasa itu kelak akan dipengerusikan beliau sendiri bersama Adun Barisan Nasional dan pembangkang.

Beliau berkata mengikut undang-undang, anggota DUN boleh membawa masuk pelawat ke dalam dewan persidangan tetapi mereka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Sementara itu, Tan yang ditemui pemberita berkata beliau tidak mengajak individu terbabit yang merupakan staf seorang daripada Adun pembangkang masuk ke dalam dewan itu sebaliknya staf itu memasuki dewan berkenaan sendiri.

"Kami berbual selama lima minit sebelum Adun Pasir Raja menegur," katanya yang kemudian mengajak individu itu keluar meninggalkan dewan.


Tan berkata beliau mengakui terlepas pandang mengenai hal itu dan bersedia untuk dirujuk ke jawatankuasa terbabit.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:40 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for ADUN Mengkibol Akan Dirujuk Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily