dailyvideo

Setuju mansuh lesen hiburan - Halimah Sadique

KOTA TINGGI – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyokong tindakan Kerajaan Negeri Johor yang mengambil keputusan memansuhkan lesen pusat hiburan keluarga di seluruh negeri mulai tahun depan.

Timbalan menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, keputusan kerajaan negeri  itu bertujuan untuk membendung masalah sosial di kalangan remaja dan perlu dicontohi kerajaan negeri lain.

Menurutnya, beliau percaya keputusan yang dibuat itu telah diambil kira dari hasil pemantauan yang dilakukan kerajaan negeri yang melihat terlalu ramai pihak menyalahgunakan lesen pusat hiburan tersebut.

“Sememangnya tanpa pemantauan yang baik dijalankan ke atas premis atau pusat hiburan ini maka memang akan berlakunya pelbagai perkara yang menyalahi syarat lesen sehingga menyebabkan berlakunya masalah sosial.

“Ramai yang menjadi pelanggan di premis yang kononnya bersifat hiburan keluarga berkenaan sehingga mencetuskan masalah terutama melibatkan pelajar sekolah dan juga remaja. Kita tidak mahu ada aktiviti yang tidak sihat sehingga merosakkan golongan itu.

“Mungkin kini sudah tiba masanya tindakan pencegahan diambil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program bubur lambuk Rakan Muda di rumah Komuniti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kampung Batu Ampat, semalam.

Halimah berkata, pemegang undang-undang juga perlu bertindak dengan melakukan pendedahan secara umum bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.

Tambahnya dengan peruntukan kuasa sedia ada, pihak berkuasa tempatan perlu memantau syarat kesesuaian premis.

“Namun dengan hanya tindakan daripada pihak berkuasa tempatan sahaja tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.


“Sebaliknya semua pihak yang mengeluarkan lesen perlulah membuat pemantauan secara berkala dan jika ia dijalankan sebaiknya ia akan dapat membendung gejala yang tidak sihat ini daripada terus berlaku,” katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:10 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Setuju mansuh lesen hiburan - Halimah Sadique

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily