dailyvideo

RM1 bilion atasi kelemahan SDE




JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri yakin langkah menyediakan jajaran laluan dan penyediaan utiliti terbaik, khususnya di projek mega Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) mampu merancakkan pembangunan di kawasan tersebut mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad mengakui akses jalan raya ke kawasan terlibat mempunyai kelemahan, khususnya di Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE).

"Kalau kita lihat Lebuh Raya SDE ini merupakan akses yang penting kepada pembangunan di Pengerang, yang mana keadaannya kini dilihat tidak berupaya menjadi akses utama berikutan tidak memenuhi piawaian reka bentuk.

"Sekiranya SDE tidak segera dinaik taraf memenuhi piawaian, bukan hanya menimbulkan masalah kemudahan akses di Pengerang, malah yang membimbangkan turut merugikan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut berkata, usaha memperbaiki SDE memerlukan pelaburan besar dengan anggaran RM1 bilion, melibatkan pengambilan tanah, pelebaran satu lorong kepada dua lorong dan sambungan jajaran ke Pengerang.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mempunyai 30 peratus kepentingan dan usaha naik taraf perlu dijalankan segera, apatah lagi Pengerang sedang menyaksikan pembangunan yang rancak.

Dalam perkembangan lain, Hasni turut mendedahkan pembinaan empangan baharu dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf utiliti bagi projek minyak dan gas di kawasan tersebut.


"Empangan ini akan membekalkan air bersih dari Sungai Seluyut, Kota Tinggi bagi menampung keperluan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas dan Dialog. Kemudahan ini akan dibina oleh Petronas manakala kerajaan negeri menyediakan tapak serta jajaran paip," katanya. -Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 11:23 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for RM1 bilion atasi kelemahan SDE

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily