dailyvideo

PRK Kuala Besut 24 Julai, Penamaan Calon 12 Julai


PUTRAJAYA, 5 Julai -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu ditetapkan pada 24 Julai, pengundian awal 20 Julai manakala tarikh penamaan calon ialah 12 Julai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, berkata daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga dan keempat tahun 2012 dan DPT suku pertama tahun 2013.

"Sembilan pusat mengundi akan dibuka, satu untuk pusat mengundi awal dan lapan bagi pengundian biasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil DUN Kuala Besut di sini hari ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon muslimah PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Abdul Aziz berkata daftar pemilih itu mengandungi 17,683 pemilih berdaftar terdiri dari 16,534 pemilih biasa, 1,134 anggota tentera dan pasangan, 14 polis dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata bagi pengundian biasa lapan sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 35 saluran tempat mengundi.

"Bagi pengundian awal, Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak dengan dua saluran akan digunakan sebagai pusat mengundi. Seramai 305 petugas pilihan raya akan dilantik," katanya.

Beliau berkata anggaran kos perbelanjaan bagi menjalankan pilihan raya kecil
itu ialah RM760,000.


Pada pilihan raya umum lepas Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 2:06 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for PRK Kuala Besut 24 Julai, Penamaan Calon 12 Julai

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily