dailyvideo

Khaled, Idris azam kukuhkan Umno

JOHOR BAHRU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang baharu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini berazam untuk terus mengukuhkan Umno supaya parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) itu kekal relevan sepanjang masa.

Menteri Besar Johor itu berkata beliau menerima jawatan itu dengan penuh keinsafan memandangkan tanggungjawab itu merupakan amanah yang sangat berat dan mencabar.

"Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan parti, Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak dan seluruh kepimpinan Umno.

"Kita perlu mengutama dan mengukuhkan kedudukan Umno sebagai teras kepada BN ketika ini, lebih-lebih lagi kita baru sahaja melalui Pilihan Raya Umum ke-13 lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis gotong-royong memasak bubur lambuk anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan program kepolisan masyarakat Taman Sierra Perdana, di sini hari ini.

Selain berterima kasih kepada Datuk Abdul Ghani Othman atas jasa dan kejayaan menerajui Umno Johor dengan baik, Mohamed Khalid turut meminta agar semua pihak terutamanya akar umbi agar memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi dalam merealisasikan matlamat pengukuhan parti.

Semalam, Najib mengumumkan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno yang baharu bagi enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor.

Jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor kekal disandang Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka yang baharu Datuk Idris Haron bertekad meneruskan kecemerlangan serta kegemilangan Umno negeri ini yang sebelum ini diterajui Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata segala amanah dan tanggungjawab akan dipikul dengan sebaik mungkin bersama timbalannya Datuk Ahmad Hamzah yang juga Ketua Umno bahagian Jasin.

"Saya melihat cabaran yang paling dekat adalah untuk memberikan keyakinan kepada ahli-ahli Umno bahawa dengan usaha, daya dan gerak kerja, kita boleh memberikan pulangan kejayaan kepada Barisan Nasional (BN) negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis khatam Al-Quran perdana pelajar sekolah rendah agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka di sini, hari ini.


Ketua Menteri Melaka itu juga berazam menggerakkan jentera di enam bahagian Umno di negeri itu untuk menambah bilangan pengundi berkualiti yang akan memberikan sokongan penuh kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:05 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Khaled, Idris azam kukuhkan Umno

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily