dailyvideo

Bekalan cukup, harga terkawal


JOHOR BAHRU - Orang ramai dinasihatkan tidak bimbang kerana bekalan barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri mencukupi dan dijual pada harga ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong turut memberi jaminan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor akan membuat pemeriksaan sepanjang penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dikuatkuasakan.

Menurutnya, pemeriksaan secara menyeluruh akan dilakukan di pasar, pasar raya besar serta kedai runcit di seluruh negeri.

"Seramai 150 anggota penguat kuasa dan 102 pegawai pemantau harga akan memulakan pemeriksaan terhadap 20 jenis barangan kawalan ditetapkan mulai hari ini hingga 11 Ogos.

"Kita sentiasa mengambil pelbagai langkah sepanjang musim perayaan ini bagi menjamin bekalan yang mencukupi dan terkawal," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Awam Larkin, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah PPDNKK negeri, Ayub Abd. Rahman.

Mengenai tinjauan hari ini, Siew Kiong berkata, para peniaga dilihat mematuhi peraturan ditetapkan dengan mempamerkan tanda harga bewarna merah jambu, malah ada yang menjual barangan kawalan lebih rendah berbanding harga ditetapkan.

"Di pasar ini, terdapat peniaga yang menjual cili merah pada harga RM13 sekilogram berbanding harga yang ditetapkan RM14 sekilogram. Ini salah satu langkah yang amat baik dan patut dicontohi peniaga lain demi kepentingan pengguna," katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, rata-rata peniaga juga memberikan maklum balas positif terhadap harga ditetapkan kerajaan dan menyifatkan penetapan harga siling mampu menyekat pembekal daripada mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sehubungan itu, Siew Kiong mengingatkan semua pihak terlibat supaya mematuhi peraturan jika tidak mahu dikenakan tindakan.


"Bagi pengguna yang tidak berpuas hati atau mempunyai sebarang aduan boleh menyalurkan maklumat ke talian bebas tol 1-800-886-800 atau menghantar e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my atau membuat laporan di PPDNKK yang berhampiran.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:35 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Bekalan cukup, harga terkawal

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily