dailyvideo

Akta Kebankrapan 1967 bakal dipinda bantu individu bankrap

KUALA LUMPUR - Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, melalui pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan diperkenal kepada pemiutang untuk mendapatkan semula hutang berasaskan pada kerangka perundangan insolvensi seperti perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.

Beliau berkata, draf rang undang-undang kebankrapan itu telah dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Peguam Negara.

"Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang dicadangkan ialah pelepasan secara automatik selepas kes ditadbir dalam suatu tempoh masa tertentu," katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang ingin tahu cadangan kerajaan untuk meminda undang-undang bagi memudahkan seseorang yang muflis keluar daripada kemuflisan.

Nancy berkata, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi, seramai 246,357 individu diisytihar bankrap secara automatik dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen serta dilarang ke luar negara.

Menurutnya, subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) melarang individu yang diisytihar bankrap untuk keluar negara kecuali dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.

Nancy memberitahu, berdasarkan akta sedia ada, terdapat tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah Insolvensi dan pembatalan melalui perintah mahkamah.

"Bagi pelepasan bankrap, pemohon boleh memfailkan permohonan di mahkamah bila-bila masa selepas dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman.

"Bagi pelepasan melalui sijil pelepasan, ia mengikut kuasa budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi. Bagi melayakkan seseorang itu dilepaskan, kes kebankrapan mestilah ditadbir melebihi lima tahun selain kriteria lain tetapi tertakluk pada bantahan pihak pemiutang," katanya.


Beliau berkata, bagi pembatalan bankrap melalui perintah mahkamah pula, permohonan boleh dibuat sama ada apabila tuntutan telah dibayar sepenuhnya atau apabila fakta kes menunjukkan bahawa bankrap tidak sepatutnya dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:16 am. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Akta Kebankrapan 1967 bakal dipinda bantu individu bankrap

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily