dailyvideo

Petani jangan jual tanah – MB

MUAR 8 Jun - Golongan petani di negeri ini dilihat cenderung untuk menjual tanah pertanian milik mereka kepada pihak lain terutama dari Singapura kerana tidak berminat untuk mengusahakan sektor pertanian.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan pemindahan hak milik tanah pertanian kerana pemilik tidak berminat, tidak ada komitmen serta masa untuk mengusahakannya.

"Mereka menjual tanah kepada pemilik yang berasal dari bandar malah negara jiran, Singapura yang dapat melihat sektor pertanian sebagai sesuatu yang berpotensi. Jika berterusan orang lain yang dapat, mereka lihat ia sebagai sesuatu yang berpotensi (untuk dimajukan).

"Kenapa kita tak mahu teruskan? Kerana itu kita perlu cari jalan penyelesaian," katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Ramah Mesra Barisan Nasional (BN) Bersama Menteri Besar serta merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Bakri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negei (ADUN) Bukit Naning yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Johor, Datuk Saipolbahari Suib.

Mohamed Khaled berharap, pertubuhan peladang dapat mewujudkan bank sendiri sama seperti dilakukan Bank Rakyat yang beroperasi sebagai sebuah koperasi untuk membeli tanah-tanah yang mahu dijual seterusnya memajukannya.

"Saya cabar pertubuhan peladang beli semua tanah pertanian (yang mahu dijual), saya yakin jika berjaya ia akan dapat menyelamatkan banyak tanah pertanian. Mereka boleh hubungi pemilik tanah ini dan menjual tanah sepatutnya menjadi pilihan terakhir kepada penjual dan pertubuhan peladang boleh jadi penyelamat.

"Ia cabaran besar yang bukan mudah dan saya harap pertubuhan peladang dapat fikir dan selamatkan keadaan dan kerajaan negeri boleh menjadi rakan kerjasama," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, hubungan antara pertubuhan peladang negeri yang mempunyai lebih 96,000 ahli akan dapat dimantapkan supaya pertanian dapat dimajukan seterusnya memainkan peranan penting dalam memodenkan sektor tersebut.

Menurut beliau, Johor adalah pengeluar makanan terbesar di negara ini apabila mengeluarkan lebih 164,000 metrik tan sayur-sayuran, lima juta liter susu segar serta 0.5 juta tan buah-buahan serta daging dalam setahun.


Justeru, katanya, petani dan penternak perlu menggunakan kekuatan yang ada itu selain menggalakkan penyertaan golongan muda bagi meneruskan kesinambungan berkenaan.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:17 am. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Petani jangan jual tanah – MB

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily