dailyvideo

Pengindahan Sungai Segget


JOHOR BAHRU - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berjaya mendapatkan keyakinan serta penglibatan awam bagi mengindahkan Sungai Segget sebelum kerja-kerja fizikal dimulakan suku ketiga tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua tahun untuk mendapatkan sokongan daripada mereka yang bekerja dan menjalankan perniagaan di kawasan sekitar Sungai Segget melalui usaha memupuk kesedaran dan kefahaman.

"Perancangan itu di bawah Projek Transformasi Johor Bahru. Rata-rata kita mendapat sambutan yang amat baik kerana melalui proses perbincangan dan juga pameran yang kita jalankan ini, kita berjaya mendekatkan mereka supaya lebih memahami akan cadangan yang kita nak lakukan.

"Maklum balas daripada mereka adalah amat menggalakkan, malahan saya suka mengatakan bahawa hampir semua pemilik tanah dan pemaju yang memiliki tanah-tanah berdepan dengan Sungai Segget telah pun bersetuju untuk memajukan kawasan mereka dengan beraspirasikan pembangunan Sungai Segget," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Forum Metropolis Iskandar Malaysia 2013, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Persekutuan IRDA, Datuk Benjamin Hasbie dan Ketua Penyelidikan Ekonomi IRDA, Engku Ahmad Kamel Engku Taib.

Forum tersebut dianjurkan dengan tujuan memberi maklumat mengenai perkembangan terbaru Iskandar Malaysia kepada pemilik perniagaan, pelabur, pegawai kanan syarikat swasta dan agensi kerajaan serta kesempatan untuk mengenali lebih dekat pelan-pelan strategik Transformasi Johor Bahru.


Menurut Ismail, kerja pembersihan dan pengindahan Sungai Segget akan menyelesaikan masalah banjir, meningkatkan kebersihan dan kesihatan umum serta meningkatkan keindahan pusat bandar sekali gus memberi makna yang amat besar kepada pengunjung dan golongan yang bekerja dan berniaga di kawasan tersebut.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 11:30 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Pengindahan Sungai Segget

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily