dailyvideo

Pemuda UMNO Hantar Memorandum: Desak Kerajaan Indonesia Tangani Jerebu

Kuala Lumpur, 24 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Indonesia untuk menghantar memorandum bantahan atas masalah jerebu yang melanda negara kita pada masa ini.

Setiausahanya, Datuk Megat Pirdaouz Tan Sri Megat Jonid berkata, Pemuda telah menemui Akhmad Daya Handasah Irfan, Penasihat Menteri Luar di Kedutaan Indonesia bagi menyampaikan rasa gusar dan keprihatinan di atas masalah jerebu yang melanda Negara kita.

“Pemuda UMNO Malaysia tadi dengan tegas telah menghantar satu memorandum meminta pihak Pemerintah Indonesia supaya mengambil tindakan yang lebih serius terutama sekali dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang mungkin menyebabkan berlakunya jerebu ini.

Memang usaha-usaha telah dilakukan oleh pihak pemerintah Indonesia tetapi kami di pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar mereka benar-benar tegas dalam mengenal pasti siapakah syarikat-syarikat ataupun konsesi-konsesi yang bertanggungjawab sehingga berlakunya fenomena ini, walaupun syarikat itu datangnya dari Malaysia,” ujarnya yang juga Setiausaha Pemuda BN.

Tambahnya, fenomena jerebu ini semacam dah jadi satu fenomena tahunan. Kita bukan mengalami masalah jerebu ini bukan kali pertama, jadi perkara ini harus ditangani bersama untuk kebaikan rakyat di kedua-dua belah Negara.

“Pemuda UMNO berharap, demi kesejahteraan, keharmonian dan kesihatan rakyat Malaysia, perkara ini mesti ditangani dengan lebih serius. Kita berharap agar Pemerintah Indonesia menggunakan apa sahaja pendekatan agar memastikan masalah jerebu ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah mengorak langkah untuk melaksanakan kempen memakai topeng muka (face mask), bagi memastikan masyarakat dapat menjalankan urusan harian dengan sihat dan selamat.  Dalam hal ini, rangkaian PPUM akan mengedar dan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat, terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk dengan fenomena jerebu ini.


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga akan menganjurkan Majlis Solat Sunat Istisqa (solat memohon hujan) di Surau Ar-Rahman, Putra World Trade Centre pada 25 Jun 2013 bagi mendoakan keselamatan negara serta rakyat dalam menghadapi masalah jerebu ini. Dalam pada itu, PPUM di setiap Bahagian seluruh negara juga diseru menganjurkan solat sunat berkenaan. 

Dikemaskini oleh Johor daily pada 1:41 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Pemuda UMNO Hantar Memorandum: Desak Kerajaan Indonesia Tangani Jerebu

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily