dailyvideo

Pastikan 2 jawatan tertinggi tak ditandingi


KUALA LUMPUR 4 Jun - Barisan kepemimpinan UMNO di peringkat Pusat dan negeri menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau melihat kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ada kini wajar dikekalkan.

"Saya menyokong cadangan ini, kita perlu kedua-dua mereka untuk memimpin kita dan tidak perlu adanya pertandingan," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Klinik Cure & Care (C&C) 1Malaysia Sungai Besi di sini hari ini.

Semalam, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dilaporkan mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, keputusan sebulat suara itu dicapai bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan ahli parti.

Sementara itu di Putrajaya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, apa sahaja perkara yang mampu menjejaskan solidariti parti perlu dikurangkan.

"Cadangan dua jawatan tertinggi tidak ditandingi atau sebaliknya adalah ditentukan oleh delegasi.

"Bagi saya, segala cadangan yang melemahkan parti tidak harus disokong," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, UMNO ketika ini perlu fokus kepada cabaran sebenar yang sedang menanti bagi memastikan kelangsungan kaum Melayu terus berdaya saing dalam apa jua keadaan.

Menurut beliau, gandingan Najib dan Muhyiddin bukan sahaja serasi malam menunjukkan hasil cemerlang dan ini dapat dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang mana UMNO telah memenangi sebanyak 88 kerusi berbanding 79 kerusi dalam PRU-12.

"Jadi saya nampak kedua-dua pemimpin tersebut wajar kekal sebagai pemimpin tertinggi parti bagi memastikan agenda memperjuang nasib kaum Melayu dapat dilakukan secara berterusan," katanya.

Di Alor Setar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah secara peribadi bersetuju dengan cadangan agar kedua-dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.

Katanya, penggantian pucuk kepemimpinan UMNO pada masa ini tidak sesuai berikutan keadaan semasa politik yang tidak menentu.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, cadangan itu adalah yang terbaik bagi mengelakkan perpecahan sekali gus menjamin parti terus utuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Dari segi tradisi begitulah dalam UMNO tetapi kita tidak mahu itu dilihat seolah-olah ia dipimpin, tetapi yang paling penting dari segi amalan dan kematangan ahli-ahli UMNO.

"Itulah langkah sebaik-baiknya yang telah kita amalkan selama ini. Mungkin ada kata sebaliknya tetapi ini terbaik dan saya menyokong," katanya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, cadangan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan merupakan langkah positif dalam usaha menjayakan transformasi parti itu.


"Selain itu, UMNO telah melalui transformasi drastik dan menjadi jentera pilihan raya umum paling kuat dalam sejarah yang mana saya percaya kekuatan ini dirasai hingga ke peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita di Sabah. - Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:35 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Pastikan 2 jawatan tertinggi tak ditandingi

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily