dailyvideo

MB mahu lebih ramai atlet kebangsaan kelahiran Johor


JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu negeri ini melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan, sekali gus mampu melakar nama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, beberapa prasarana sukan bagi kemudahan penduduk negeri ini untuk bersukan dan beriadah akan dibangunkan dari semasa ke semasa supaya bakat-bakat terpendam yang ada dalam diri anak Johor dapat dikesan serta diketengahkan.

"Selaku pemimpin, saya akan beri perhatian secara adil terhadap pelbagai isu, bukan sahaja perkara besar malah perkara terpencil dan bersifat kemasyarakatan.

"Ini bagi memastikan semua aspek diambil kira termasuklah hal membangun dan menaik taraf prasarana sukan di negeri ini untuk melahirkan atlet yang bukan sahaja bergelar jaguh kampung, malah bertaraf dunia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Boling Pasir Gudang, di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, dekat sini baru-baru ini.

Katanya, beliau telah meminta semua exco negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan untuk mengemukakan perancangan terperinci dalam tempoh 100 hari selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pertama yang diadakan 14 Mei lalu.

Mohamed Khaled memberitahu, perancangan tersebut akan dibentangkan untuk pengetahuan umum agar ia mendapat maklum balas yang sewajarnya daripada rakyat Johor.

Mengulas mengenai kedudukan ahli MCA yang mengundur diri daripada memegang jawatan sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan di negeri itu, beliau berkata, kekosongan tersebut tidak akan diisi sekiranya ia tidak menjejaskan korum ahli majlis.


"Saya akui ia akan memberi kesan terhadap perkhidmatan, tetapi saya yakin pihak berkuasa tempatan boleh memikirkan formula sesuai untuk menampung atau menangani masalah yang timbul," katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 11:05 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for MB mahu lebih ramai atlet kebangsaan kelahiran Johor

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily