dailyvideo

Masih ramai pandang remeh aspek kesihatan - Rasman


KOTA TINGGI 26 Jun - Masih ramai masyarakat mengambil remeh soal aspek kesihatan dan hanya akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik apabila tidak lagi mampu menahan kesakitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedeli, Rasman Ithnain berkata, tahap kesedaran dan pengetahuan turut mempengaruhi tindakan kerana masyarakat masih lagi dalam keadaan takut membuat pemeriksaan kesihatan.

"Ada juga yang rasakan mereka tidak perlukan rawatan kerana beranggapan tidak berpenyakit, sudah tua atau membuang masa.

"Tidak kurang ada yang berminat, tetapi tiada siapa yang mahu menemankan," katanya selepas membuat lawatan dari rumah-ke rumah anjuran bersama Jawatankuasa Panel Kesihatan Tanjung Sedeli dan Persatuan Nelayan Tanjung Sedeli di Kampung Teluk Jeri, Tanjung Sedeli di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Panel Klinik Kesihatan Tanjung Sedeli, Hashim Muhammad dan Dr. S. Jeya Reasanthi.

Pada program tersebut, Rasman bersama rombongan meluangkan masa kira-kira dua jam sambil menyampaikan sumbangan makanan kesihatan dan wang tunai kepada empat pesakit kronik yang terdiri daripada warga emas.

Beliau berkata, program turun padang yang dilakukan setiap tiga bulan itu dilihat dapat menyedarkan masyarakat selain berkongsi maklumat bersama masyarakat.

"Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan menyedarkan masyarakat pentingnya penjagaan kesihatan kerana tindakan awal dapat membantu mengesan penyakit dan rawatan dapat diberikan segera," katanya.

Hashim memberitahu, pihaknya akan terus berusaha mendidik masyarakat supaya membuat pemeriksaan awal terutama bagi mengesan penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.


"Masyarakat hendaklah sentiasa mengambil peluang dan kemudahan yang ditawarkan, apatah lagi jika ia diberikan percuma," katanya. - Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:59 am. Fail ini , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Masih ramai pandang remeh aspek kesihatan - Rasman

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily