dailyvideo

Kerajaan Johor Kenakan Kadar Cukai Hartanah Baharu Kepada Pegangan Asing

JOHOR BAHARU, 2 Jun -- Kerajaan Johor akan mengenakan kadar cukai baharu yang lebih tinggi kepada kira-kira 130,000 pegangan asing yang memiliki hartanah di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kadar cukai baharu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu berbeza dengan kadar yang dikenakan kepada penduduk tempatan.

"Sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi perhatian kepada pegangan asing di negeri ini kerana rakyat kita di negara luar juga dikenakan kadar cukai yang berbeza. Jadi saya rasa untuk permulaannya kita kenakan kadar berbeza bagi cukai harta," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Zon Permas, di sini hari ini.

Katanya, usaha itu juga bertujuan meningkatkan hasil dan mengukuhkan pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor serta meningkatkan tahap  perkhidmatan kepada penduduk.

Mohamed Khaled yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Permas berkata beliau yakin rakyat Johor akan bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia akan memberi keuntungan kepada mereka manakala warga asing pula perlu belajar bersyukur kerana memiliki harta di negeri ini.

Turut hadir, anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad dan Datuk
Bandar Johor Baharu Burhan Amin.

Dalam pada itu, beliau berkata PBT di negeri ini juga akan melakukan penilaian semula terhadap nilai hartanah di kawasan pentadbiran masing-masing bagi membolehkan cukai dikenakan mengikut kadar harga pasaran hartanah semasa.

Katanya kali terakhir penilaian dibuat pada sekitar tahun 1980-an dan nilai hartanah tentunya meningkat dan berbeza berbanding dahulu.

"Cukai yang dikutip masa ini adalah berasaskan kepada nilai pada 1980-an, maknanya jika rumah kedai berharga RM30,000 pada waktu itu, cukai yang dikenakan kini masih berdasarkan nilai RM30,000 walhal kita percaya harga rumah kedai itu meningkat kepada nilai yang lebih besar," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi pembangunan baik pulih, penurapan dan pelebaran jalan raya serta membina jalan baru di Zon Permas.


Peruntukan di bawah kerajaan pusat dan negeri itu bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk setempat, katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:24 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Kerajaan Johor Kenakan Kadar Cukai Hartanah Baharu Kepada Pegangan Asing

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily