dailyvideo

Kajian Suara Hati Johor


NUSAJAYA - Kerajaan Johor memulakan inisiatif baru bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyatnya melalui kajian yang dikenali sebagai 'Suara Hati Johor'.
  
Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin berkata kajian selama tiga bulan itu akan dilaksanakan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan menyasarkan kira-kira 8,000 responden.
  
Katanya, kajian itu bagi membolehkan kerajaan membuat tindakan seperti menggubal dasar berpandukan kehendak, jangkaan dan keperluan rakyat dengan tema 'Merakyatkan Kerajaan'.
  
"Bagi merealisasikan aspirasi ini, kerajaan menjalankan satu kajian melibatkan rakyat terhadap 100 hari pentadbiran saya sebagai Menteri Besar.
  
"Kajian ini dilihat sebagai satu wadah bagi memperkasa dan memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan menyeluruh ke arah pembentukan Negeri Johor Maju menjelang tahun 2020," katanya pada sidang akhbar di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Objektif utama kajian itu adalah mengetahui beberapa indikator berkaitan permasalahan rakyat, mengenal pasti isu utama dihadapi rakyat dan mencadang dasar yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.
  
Penyelidikan itu akan menggunakan dua kaedah iaitu kuantitatif dan kualitatif melalui kajian di lapangan dan laman web, katanya.
  
Beliau berkata, kajian itu diharap dapat menghasilkan hasil berguna untuk dijadikan dasar yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.
  

Mohamed Khaled yakin akan keprihatinan rakyat Johor terhadap dasar kerajaan, mengalu-alukan penglibatan mereka dalam kajian tersebut yang akan dijalankan secara jujur, rasional, terbuka serta berterus-terang.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:06 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Kajian Suara Hati Johor

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily