dailyvideo

Ibu Roshdi reda


JOHOR BAHRU – “Malam kedua selepas dia koma, makcik mimpi arwah suami pesan mahu bawa Eddy pergi bersamanya. Rupanya itu petanda dia akan meninggalkan kami semua,” luah ibu Roshdi Rosiman, Dara Mahilah, 50.

Roshdi yang koma selepas terjatuh ke luar Stadium Larkin, di sini, dari ketinggian 20 meter menghembuskan nafas terakhirnya jam 2.15 pagi, semalam.

Anak kelima dari lapan beradik itu yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dipercayai meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah.

Dara berkata, anak kelimanya itu yang lebih mesra disapa sebagai Eddy turut memberitahu hasratnya untuk membaiki kereta milik arwah ayahnya ketika kali terakhir mereka bertemu sehari sebelum dia terjatuh dari stadium.

“Makcik ingat lagi ketika dia hulurkan duit RM20 ketika menjenguk makcik pada petang Jumaat minggu lepas, dia pesan supaya makcik tidak susah hati dan berjanji akan betulkan kereta ayahnya minggu depan.

“Makcik tidak sangka dia akan pergi secepat ini kerana dia anak yang baik dan sering ambil berat keadaan makcik,” katanya.

Dara berkata, dia yang sebelum ini sering menjenguk Roshdi ketika dirawat di hospital turut terkilan dengan pemergian anaknya itu, namun tetap reda dan menganggapnya sebagai ketentuan ALLAH.

“Sejak dia dimasukkan ke hospital, makcik tidak putus berdoa agar dia selamat dan cepat sembuh, walaupun dia tidak boleh berjalan makcik tidak kisah dan hanya harapkan dia sembuh.

“Makcik reda dengan pemergian Eddy tetapi sebagai ibu turut rasa terkilan, rasanya macam baru semalam kami berjumpa dan dengar gelak tawanya.


“Makcik selalu usik dia berkaitan soal jodoh tetapi makcik terharu bila Eddy cakap mahu jaga makcik dan lepaskan adik-adiknya dahulu,” katanya. - Sinar

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:55 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Ibu Roshdi reda

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily