dailyvideo

Hari Kesedaran Kesihatan Kg. Bakar Batu meriah

JOHOR BAHRU - Hari Kesedaran Kesihatan anjuran syarikat penasihat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, AdvancePact di Dewan Serbaguna Kampung Bakar Batu semalam berlangsung meriah apabila dihadiri lebih 400 penduduk dan murid Sekolah Kebangsaan Tebrau Bakar Batu.

Program kesihatan yang julung-julung kalinya diadakan di kampung itu turut mendapat pujian Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang merasmikan majlis tersebut.

Beliau dalam ucapannya berkata, program berkenaan membolehkan masyarakat diberi pendedahan tentang kesihatan apatah lagi jangka hayat penduduk secara puratanya bertambah.

"Maknanya di peringkat akhir hidup keadaan kesihatan perlu dijaga supaya tidak menjadi beban kepada diri sendiri dan saudara-mara kelak. Apatah lagi Malaysia mencatatkan penyakit kencing manis dan darah tinggi yang semakin meningkat, namun saya percaya ia dapat dibendung jika dikawal lebih awal.

"Penerangan seperti ini kita kena ambil berat, kalau kita yang dah tua ada penyakit maka bagi anak-anak harus dididik dengan kematangan kesihatan. Saya ucap tahniah kepada penganjur kerana anjur program ini ke sini," katanya.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru; Pengarah Eksekutif AdvancePact, Mohd. Hidzir Khamis dan Ketua Kampung, Zulkifli Md. Ali.

Program turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan daerah, Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Unit Transplan HSA, Klinik Kesihatan Tebrau dan Aqsa Syarif dengan membabitkan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, derma darah, kuiz, cabutan nombor bertuah dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Mohd. Hidzir berkata, program itu adalah yang kedua dianjurkan pihaknya di Kampung Bakar Batu selepas AdvancePact mengadakan majlis korban tahun lalu.

"Program seperti ceramah dan pameran kesihatan dapat memberikan pengetahuan berkaitan dengan punca dan kesan penularan wabak yang dibawa oleh nyamuk dan tikus serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku," katanya. - Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:01 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Hari Kesedaran Kesihatan Kg. Bakar Batu meriah

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily