dailyvideo

Berpijaklah Di Bumi Nyata, Pas Perlu Jujur Nyatakan Pendirian

KUALA LUMPUR – Pas disaran berpijak di bumi nyata dan perlu jujur kepada seluruh rakyat negara ini berhubung proses demokrasi khususnya keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh berkata sudah tiba masanya parti itu jujur dan tidak berselindung di sebalik kata-kata berhubung perhimpunan 505.

Menurut beliau, apa jua alasan dan apa pun kenyataan yang diberikan sehingga ke hari ini, seolah-olah nampak ketidakjujuran parti terbabit dan dilihat hanya menggunakan tutur kata dan tidak disusuli dengan perbuatan.

“Kata sokong demokrasi dan difahamkan terima keputusan PRU lalu, tetapi kalau kita perhatikan ada juga kalangan pimpinan mereka yang hadir dan begitu juga penyokong mereka yang lain.

“Jika betul mereka menyokong demokrasi, sepatutnya mereka boikot sepenuhnya perhimpunan berkenaan. Ini tidak, lain pula yang terjadi… setengah pemimpin kata begitu dan setengah pemimpin pula kata begini. Yang mana satu yang betul?” soalnya.

Kata beliau lagi Pas perlu mengotakan apa yang telah diperkatakan oleh pucuk pimpinan parti tersebut yang menerima keputusan PRU-13 tanpa menimbulkan apa-apa tanggapan lain.

“Dengan apa yang Pas lakukan iaitu berbeza dengan apa yang dinyatakan maka tentunya ia telah menjadi antara perbualan umum yang mana Pas dilihat seolah-olah tidak berpijak di bumi nyata, sanggup terima kemenangan tetapi bersikap sebaliknya atas kekalahan di kawasan tertentu.

“Sampai bila keadaan berterusan begitu? Ini adalah masa untuk bekerja seperti mana yang telah diperkatakan oleh ramai orang. Ini waktu untuk berkhidmat kepada rakyat yang telah memilih wakil rakyat. Pandanglah ke hadapan untuk kepentingan bersama,” tegasnya lagi.


Dilaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah meminta semua pihak menerima keputusan pilihan raya dengan penuh kesyukuran dan kesabaran serta redha dengan segala ketentuan namun demikian terdapat sebilangan pemimpinnya sebagaimana Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu serta Naib Presiden, Datuk Husam Musa turut serta dalam himpunan blackout 505 yang dibuat atas alasan membantah keputusan PRU-13.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:13 pm. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Berpijaklah Di Bumi Nyata, Pas Perlu Jujur Nyatakan Pendirian

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily