dailyvideo

10 warga emas, OKU terima bantuan Ramadan

ADUN Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan
kepada  warga emas di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru

JOHOR BAHRU - Seramai 10 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Melayu Majidee, di sini adalah antara yang terawal menerima bantuan sempena ibadah puasa tidak lama lagi menerusi Program Sumbangan Menjelang Ramadan di dewan raya kampung tersebut.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah penerima apabila masing-masing mendapat sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan dapur dalam program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru itu.

Antara penerima tersebut ialah Wan Khadijah Wan Mansor, 76, yang pertama kali berpuasa di kediamannya di Jalan Askar di sini tanpa suami yang meninggal dunia pada Syawal tahun lalu.

"Mak cik bersyukur terima bantuan ini kerana selepas kematian suami tahun lepas, mak cik tinggal dengan anak sulung serta cucu-cucu. Ini kali pertama mak cik menerima bantuan sebegini, apatah lagi bulan depan mak cik kena puasa sendiri," katanya.

Seorang lagi penerima, Azizah Karno, 64, bersyukur apabila bantuan awal itu membolehkannya melakukan persiapan menghadapi Ramadan yang dijangka bermula 10 Julai ini.

"Alhamdulillah hari ini saya sekeluarga menerima bantuan barang-barang dapur dan ia sumbangan pertama diterima daripada pihak yang prihatin. Sedikit sebanyak sumbangan ini meringankan beban kesusahan yang saya alami apabila tibanya Ramadan nanti," katanya.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru yang turut dihadiri Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Melayu Majidee, Mohamed Hairudin Abdul Hamid.

Adam berharap sumbangan tersebut dapat mengurangkan beban penerima dalam menempuh ibadah puasa nanti.


Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 35 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Puteri bakal dibaik pulih menerusi peruntukan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya penduduk dapat hidup dengan lebih selesa. - Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:24 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for 10 warga emas, OKU terima bantuan Ramadan

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily