dailyvideo

Usaha Naik Taraf Pendidikan Antara Folus Pembangunan Setempat Di Labis



SEGAMAT, 2 Mei -- Selepas memberikan fokus untuk meningkatkan taraf ekonomi di kawasan parlimen Labis pada penggal lepas, penyandang kerusi itu Datuk Chua Tee Yong berazam untuk memajukan sektor pendidikan pula sekiranya Barisan Nasional dapat mempertahan kawasan itu pada pilihan raya umum Ahad ini.

Beliau berkata setelah kelestarian ekonomi dicapai, ia akan menarik lebih banyak syarikat datang melabur dan apabila ekonomi berkembang, pembangunan pendidikan pula akan menjadi lebih mudah.

Bagi seorang penduduk, Hamdan Kasdu, 53, kepimpinan yang ditunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini amat baik dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti mewujudkan sekurang-kurangnya kolej komuniti untuk menaikkan taraf pendidikan di kawasan itu.

"IPT perlu juga di kawasan ini agar anak-anak tempatan tidak perlu berhijrah untuk belajar kerana ia akan menelan belanja yang lebih tinggi.

"Kalau dapat dibina di sini, ia akan mengurangkan kos keluarga dan saya percaya kepimpinan BN jika diberi mandat, mampu membawa pembaharuan ini," katanya di sini.

Keluh-kesah rakyat menjadi penyuntik semangat Chua untuk terus berkhidmat dan beliau akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi agar mutu pendidikan di kawasan ini dapat ditingkatkan demi melahirkan generasi muda tempatan yang berilmu jika keputusan pada 5 Mei berpihak kepadanya.

Chua yang juga anak Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek merupakan penyandang kerusi parlimen Labis apabila menang pada pilihan raya ke-12 mengalahkan calon DAP, Teo Eng Ching dengan majoriti 4,094 undi.

Parlimen Labis dibahagi kepada dua kawasan dewan undangan negeri (DUN) iaitu Tenang dan Bekok yang mempunyai 37,787 pengundi berdaftar dengan 46.48 peratus terdiri daripada kaum Cina, 36.53 peratus Melayu, 15.08 peratus India dan 1.93 peratus lain-lain kaum dengan aktiviti perladangan sebagai sumber pendapatan utama.

Bagi Tan Eng Her, 63, banyak penambahbaikan dibuat di bawah pemerintahan BN di kawasan itu antaranya pembinaan klinik kesihatan pada tahun 2011 yang dapat meringankan kos perubatan bagi penduduk.

"Saya rasa senang bila ada klinik itu sebab mudah untuk dapatkan rawatan. Saya pun warga emas dan kerajaan pula bagi peruntukan untuk tolong kami malah ubat juga bagus," katanya.

Menurut Chua, jika terus diberi kepercayaan menerajui kawasan parlimen itu, beliau akan meneruskan pembangunan ekonomi di kawasan itu yang sememangnya terkenal sebagai pusat penanaman kelapa sawit di Johor.

"Banyak yang dirancang untuk mempelbagai ekonomi di Labis memandangkan sektor perladangan merupakan sumber pendapatan utama.

"Kita (BN) lihat aktiviti perladangan itu dapat menjadi pemangkin kepada ekonomi setempat. Disebabkan itu, kita berusaha sebelum ini mencari pelabur yang berminat dan ia membuahkan hasil apabila ada syarikat datang melabur demi meningkatkan ekonomi penduduk dalam aktiviti perladangan," katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan sekurang-kurangnya RM4 juta daripada kerajaan pusat bagi menambah baik
jalan-jalan persekutuan yang ada bagi menarik minat lebih banyak pelabur ke
kawasan itu.

Chua berkata industri pelancongan juga tidak terkecuali untuk dibangunkan di kawasan itu memandangkan ia dilihat dapat menjana pendapatan secara
kecil-kecilan bagi penduduk setempat.

Labis menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang gemar kepada keindahan alam sejak pembukaan kolam air panas semula jadi dan hutan lipur air terjun selain kawasan itu menjadi satu daripada jalan masuk ke Taman Negara, Pahang.

Katanya pelbagai kemudahan di kawasan tarikan pelancong itu akan diperbaiki dan dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung agar mereka mempunyai memori indah ketika mengunjungi pusat riadah itu.

Bagi Sain Husin, 61, pembangunan yang dilaksanakan secara terus menerus dilihat mampu membantu semua lapisan masyarakat dan berharap kehidupan
rakyat berbilang kaum di situ akan terus harmoni pada masa depan.

"Saya amat bersyukur kerana dapat berniaga dengan aman tanpa sebarang masalah dan semua kaum dapat peluang mereka sendiri.

"Saya harap jika BN terus memerintah, keamanan ini dapat dikekalkan tak kira di daerah ini ataupun di peringkat kebangsaan," katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:09 pm. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Usaha Naik Taraf Pendidikan Antara Folus Pembangunan Setempat Di Labis

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily