dailyvideo

Tenggara terus melonjak maju



KOTA TINGGI 1 Mei - Peristiwa banjir besar yang melanda daerah ini pada akhir 2006 dan awal 2007 pastinya masih segar dalam ingatan warga Johor apatah lagi ia dikatakan yang terburuk pernah terjadi di negeri ini.

Gelombang pertama banjir pada 19 Disember 2006 telah menenggelamkan hampir keseluruhan Bandar Kota Tinggi termasuk rumah kediaman, bank, kedai-kedai dan kompleks membeli-belah dan pada 11 Januari 2007, gelombang kedua banjir melumpuhkan bandar berkenaan.

Bencana alam yang berlaku enam tahun lalu itu mencatatkan paras air Sungai Johor naik setinggi 5.45 meter berbanding rekod sebelumnya 4.9 meter, menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan kediaman penduduk dengan beberapa minggu diperlukan untuk bandar tersebut beroperasi semula.

Kini, semuanya sudah berakhir dan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mencegah banjir daripada berulang dengan 360 buah keluarga dari enam kampung yang paling terjejas dan berisiko ditenggelami banjir, dipindahkan ke kawasan baharu diberi nama Desa Sejahtera.

Empat kampung yang terlibat ialah Kampung Kelantan, Kampung Panti, Kampung Sungai Berangan dan Kampung Batu 25 dalam Parlimen Tenggara manakala Kampung Tembioh dan Kampung Makam pula dalam Parlimen Kota Tinggi.

Menerusi Program Penempatan Semula itu, Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) telah membina 360 unit rumah bernilai RM58 juta di kawasan tanah seluas 19.42 hektar di Batu 2, Jalan Lombong di sini yang dijual pada harga RM46,000 walaupun kos keseluruhan pembinaannya mencecah RM120,000 lengkap dengan kemudahan asas seperti surau, taman permainan kanak-kanak dan dewan.

Bagi penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat di negara ini dan beliau akan mempertahankannya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei ini.

"Inilah yang dikatakan dengan slogan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Kerajaan tidak pernah terlepas pandang dengan apa yang berlaku di sekeliling terutama sekali yang melibatkan soal kebajikan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Halimah, Program Penempatan Semula itu hanyalah sebahagian daripada bantuan kerajaan kepada penduduk di Parlimen Tenggara kerana hakikatnya, telah banyak yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak dahulu sehingga kini seperti Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) melibatkan 442 generasi kedua Felda dari Parlimen Tenggara.

Parlimen Tenggara merangkumi tujuh rancangan Felda dengan empat daripadanya iaitu Felda Bukit Ramun, Felda Sungai Sayong, Felda Bukit Besar dan Felda Pasir Raja terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja manakala Felda Sungai Sibul, Felda Penggeli Timur dan Felda Linggiu di bawah DUN Panti.

"RMR1M yang dibina di Felda Sungai Sayong sudah hampir siap manakala di Felda Bukit Ramun, Felda Bukit Besar dan Felda Pasir Raja pula masih dalam pembinaan. Bagi Felda Sungai Sibul dan Felda Penggeli Timur, Felda telah membuat majlis pecah tanah baru-baru ini untuk membina 360 buah rumah teres kepada penduduk," katanya.

Halimah berkata, kerajaan juga tidak pernah mengabaikan kebajikan kaum Cina dan India di Parlimen Pengerang meskipun jumlah pengundi kaum tersebut hanyalah 18 dan tujuh peratus, terutama dalam bidang pendidikan di mana bantuan kewangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil di kawasan berkenaan diberi setiap tahun tanpa gagal.

"Baru-baru ini kerajaan negeri juga turut memberi tanah seluas 0.4 hektar bagi pembinaan kuil baharu bagi masyarakat India di Jalan Lombong dengan tempoh pajakan dipanjangkan dari 21 tahun kepada 99 tahun, mengenakan cukai tanah serendah RM1 dan bantuan kewangan sebanyak RM500,000.

"Kita juga turut memberi sumbangan sebanyak RM500,000 untuk dewan kepada masyarakat Cina di sini selain akan membina sebuah lagi sekolah SJK Cina di Taman Daiman Jaya. Pendek kata, semua masalah di dalam kawasan Parlimen Tenggara diselesaikan oleh kerajaan secara berterusan dan bukan bermusim," katanya.


Sumber: Utusan Malaysia

Dikemaskini oleh Johor daily pada 11:55 am. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Tenggara terus melonjak maju

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily