dailyvideo

Siew Kiong akur keputusan MCA



KUALA LUMPUR 25 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong (gambar) menerima setiap keputusan daripada pucuk pimpinan MCA berhubung kedudukannya di dalam parti itu ekoran tindakannya menduduki jawatan Exco di negeri Johor.

Jelasnya, sebagai ahli yang setia dengan parti sejak tahun 1983, beliau bersedia menerima sebarang tindakan disiplin yang akan dikenakan.

"Namun, saya tetap berpegang dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara kerana pelantikan sebagai Exco ini adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Keputusan telah dibuat dan saya tidak akan meletak jawatan Exco kerana menghormati titah baginda, malah ini sebagai tanggungjawab dan tanda terima kasih kepada rakyat Johor yang saya lihat lebih faham suasana dan kedudukan ini," katanya selepas merasmikan Promosi Makanan, Kebudayaan dan Kraftangan negeri Johor bersempena Bulan Citrawarna Malaysia 2013, di sini hari ini.

Siew Kiong mengambil cuti sementara daripada segala aktiviti dan jawatan MCA sama ada peringkat cawangan hingga ke pusat berkuat kuasa 21 Mei lalu untuk menunggu tindakan selanjutnya oleh lembaga disiplin parti itu dalam isu jawatan Exco kerajaan negeri Johor.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi MCA telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pelancongan dan Kepenggunaan bagi mewakili kaum Cina sebagaimana titah Sultan Johor.

Keputusannya menerima jawatan tersebut dikatakan melanggar pendirian MCA yang enggan memperoleh sebarang jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi kurang memuaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang bagi penggal ketiga dengan menewaskan calon Pas, Ungku Mohd. Noor Ungku Mahmood dengan majoriti 3,412 undi.

Sementara itu, Siew Kiong berkata, kerajaan negeri menyasarkan penerimaan pelancong tempatan sebanyak 4.6 juta orang serta pelancong antarabangsa (4.9 juta orang).

"Jumlah tersebut mampu dicapai jika dilihat kecenderungan peningkatan jumlah pelancong ke Johor ketika ini." katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Dikemaskini oleh Johor daily pada 10:00 am. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Siew Kiong akur keputusan MCA

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily