dailyvideo

Siasat tujuan pacak bendera warna-warni






***Pic: Blogger Sahabat-Gunung

PAGOH - Pihak polis diminta menyiasat kemunculan bendera-bendera kecil dan berwarna-warni di beberapa kawasan yang didakwa sebagai tanda untuk penyokong pembangkang melakukan huru-hara dan berdemonstrasi jika kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sekiranya benar, adalah amat berbahaya kerana akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Ini saya baca dalam beberapa SMS (khidmat pesanan ringkas) dan media sosial yang maklumkan di Kuala Lumpur dan Selangor, saya lihat banyak tempat sudah dipacak bendera-bendera kecil warna-warni. Jadi saya tanya apa itu?

"Nampaknya ada laporan dikeluarkan mungkin itu tempat kalau pakatan pembangkang kalah, maka mereka akan adakan demonstrasi, mungkin tempat itu bermulanya demonstrasi, saya tak tahu," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Mesra Rakyat IMalaysia (RMR1M) di Kampung Renchong di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; Pengarah Jentera Pilihan Raya Pagoh, Datuk Tahir Mohd. Taat; Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad, Datuk Idris Haron dan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam.

Muhyiddin yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh mengulas kemunculan bendera itu sejak minggu lalu yang dipacak di beberapa lokasi di Kuala Lumpur didakwa sebagai tempat berkumpul jika pembangkang tewas dalam PRU-13 ini.

Katanya, perbuatan tersebut memperlihatkan pembangkang sudah mengetahui kekalahan mereka dan tidak dapat menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.

Selain meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyiasat tujuan bendera berwarna-warni itu dipacak, beliau juga telah meminta supaya pihak polis mengambil langkah sewajarnya jika benar tujuan bendera itu diletakkan adalah sebagai lokasi untuk mengadakan demonstrasi.

Timbalan Perdana Menteri bimbang pembangkang akan mendakwa kekalahan mereka pada PRU-13 ini akibat penipuan dan untuk itu bertindak menimbulkan kekacauan.

Keadaan tersebut bertentangan dengan BN pada PRU-12 yang kehilangan beberapa negeri tetapi menerimanya dan peralihan kuasa berjalan dengan aman serta lancar.

"Kalau itu tujuannya (timbulkan kekacauan) ia satu tindakan tidak bertanggungjawab, saya harap mereka (pembangkang) akan nafikan, tetapi apa yang disebar dalam SMS dan blog, saya amat takut dan bimbang, kalau mereka tempa kekalahan teruk maka apakah itu permulaan untuk timbulkan huru-hara dalam negara kita," katanya.

Ditanya sama ada tindakan memacak bendera-bendera itu bertujuan menakut-nakutkan pengundi daripada keluar mengundi, beliau berkata, tidak tahu apa tujuan utamanya tetapi PRU-13 akan tetap berjalan dengan 13 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, antara punca utama pembangkang merancang perkara tersebut kerana trend pengundi pada masa ini yang majoritinya memihak kepada BN.

"Kalau tahu mahu kalah berserah kepada Allah, bukan segala-galanya ditentukan oleh kita. Itu penentuan Allah tetapi kalau tidak bersedia tolak qada dan qadar, ini bukan Islam namanya. Kita minta pemimpin Islam dalam pakatan pembangkang pun bersikap berhemah dan berbudi bahasa, amal cara baik, tidak buat kekacauan dan huru-hara," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan jentera BN supaya terus melipatgandakan kempen yang berbaki tidak sampai 48 jam lagi untuk memastikan kemenangan besar BN.

"Ini penting dalam usaha kita capai kejayaan besar, kita tidak boleh terlebih yakin, ambil mudah atau sudah rayakan (kemenangan) siang-siang, tak boleh begitu dan yang penting, beritahu jentera kerja keras sampai selesai (PRU-13)," katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 3:59 pm. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Siasat tujuan pacak bendera warna-warni

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily