dailyvideo

Serangan Hebat Pembangkang Gagal Tembusi Kubu Kuat UMNO Di Johor



JOHOR BAHARU, 9 Mei -- Kubu Umno di Johor masih kukuh walaupun pada pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas Pakatan Rakyat cuba mengasak tetapi lebih 90 peratus daripada calon-calon kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) menang selesa.

Barisan Nasional yang ditunjangi Umno, berjaya menguasai majoriti dua pertiga kerusi DUN walaupun kali ini pembangkang yang diketuai penasihat DAP Lim Kit Siang menyerang hebat Johor.

Dilahirkan di Istana Besar Johor 67 tahun lepas pada 1946, Umno Johor masih merupakan parti pilihan bagi pengundi Melayu,

Umno Johor di bawah tonggak pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman bertanding di 34 kerusi DUN daripada 56 kerusi keseluruhannya, manakala bagi kerusi parlimen pula, calon Umno bertanding di 17 kerusi daripada 26 kerusi kesemuanya.

Calon-calon Umno 32 kerusi DUN dan hanya tewas di DUN Sungai Abong dan Maharani, kedua-duanya di Muar.

Kedua-dua calon Umno di DUN terbabit, Dr Mohd Haris Salleh (Sungai Abong) dan Zulkhairi Ahmad (Maharani) tewas di tangan calon PAS Dr Sheikh Ibrahim Salleh dan Dr Mohammad Taslim.

DUN Sungai Abong dan DUN Maharani yang berjaya dipertahankan PAS buat penggal kedua pilihan raya umum, mempunyai pengundi Cina yang besar masing-masing 45.22 peratus dan 41.98 peratus.

"Kedua-dua calon BN itu menerima kesan daripada perubahan besar undi  pengundi bandar Cina selain perpecahan undi Melayu," menurut seorang penganalisis politik tempatan.

Apa yang dianggap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak badai 'Tsunami Cina' yang melanda dan menumbangkan banyak tokoh pemimpin Umno dan BN pada PRU13 juga mengenai Johor walaupun negeri ini tidak goyah tetapi mengorbankan Abdul Ghani, tokoh yang selama 18 tahun berjasa membangunkan dan menyatukan rakyat Johor cara beliau atau yang dinamakannya 'Cara Johor'.

Hanya Abdul Ghani dan calon Umno di Batu Pahat yang tewas bagi pertandingan merebut kerusi parlimen daripada 17 yang ditandingi.

Beliau yang memimpin Johor sebagai menteri besar selama 18 tahun, tewas di
tangan Lim dalam pertembungan yang amat dinanti-nantikan pada pilihan raya umum kali ini kerana ini pertama kali calon DAP bertemu dengan calon Umno dalam PRU.

Lim, yang mengetuai serangan hebat DAP ke kubu kuat BN di Johor memperolehi sebanyak 54,284 undi berbanding Ghani 39,522 undi.

Pengundi Cina merupakan majoriti di kawasan parlimen Gelang Patah dengan 52.41 peratus, diikuti Melayu dengan 34.28 peratus, jelas tidak mengambil kira jasa dan pengorbanan Abdul Ghani di Johor dengan memilih calon 'payung terjun', Lim. 

Selain itu, calon Umno bagi kerusi parlimen Batu Pahat, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi turut tewas disebabkan peralihan besar-besaran pengundi Cina kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Idris Juzi.

Walaupun Batu Pahat mempunyai 52.67 peratus pengundi Melayu, tetapi jumlah pengundi Cina juga agak besar pada 45.60 peratus dan menjadi penentu jika terdapatnya perpecahan dalam undi pengundi Melayu.

Selain Umno, MCA mengemukakan 16 calon bagi kerusi DUN dan tujuh parlimen, MIC satu calon parlimen dan empat DUN , manakala Gerakan satu parlimen dan dua kerusi DUN.

Daripada 16 kerusi DUN, MCA hanya menang di dua kerusi, DUN Paloh dan DUN Pulai Sebatang, manakala daripada tujuh parlimen yang ditandinginya, parti komponen BN itu menang di empat kawasan parlimen.

Calon-calon MCA menang di Labis (Datuk Chua Tee Yong), Ayer Hitam (Datuk Wee Ka Siong), Tebrau (Khoo Soo Seang) dan Tanjong Piai (Datuk Wee Jeck Seng).

MIC pula meletakkan calonnya Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam di kerusi parlimen Segamat dan empat DUN, Gambir, Kahang, Puteri Wangsa serta Tenggaroh dan memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya.

Bagi Gerakan pula, calonnya memenangi kerusi parlimen tunggal iaitu Simpang Renggam dan satu daripada dua kerusi DUN yang ditandinginya, DUN Permanis, manakala tewas di DUN Bukit Batu kepada calon PKR.

Keseluruhannya, pembangkang memenangi 18 kerusi DUN dan lima kerusi parlimen, pencapaian terbaik di negeri yang diakui mereka sebagai kubu kuat Umno dan BN.

Lapan belas kerusi DUN dimenangi pembangkang di Johor ialah Jementah, Bekok,  Tangkak, Bentayan, Sungai Abong, Maharani, Yong Peng, Parit Yaani, Penggaram, Mengkibol, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Stulang, Pengkalan Rinting, Skudai, Bukit Batu, Senai dan Pekan Nenas.

Calon DAP memenangi 14 daripada 18 kerusi DUN itu, PAS di Sungai Abong,
Maharani dan Parit Yaani manakala kerusi DUN tunggal yang dimenangi PKR ialah di Bukit Batu.

Kerusi parlimen yang dimenangi pembangkang DAP ialah di Gelang Patah,
Kluang, Kulai dan Bakri.

-         Bernama

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:03 pm. Fail ini , , , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Serangan Hebat Pembangkang Gagal Tembusi Kubu Kuat UMNO Di Johor

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily