dailyvideo

Ribut 40 minit

SEGAMAT - Kejadian ribut tengah malam kelmarin mengakibatkan kira-kira 4,000 pokok getah milik 39 peserta Felcra Pauh Manis, dekat sini, tumbang dan patah.

Ketua Kampung Sermin 2, Salleh Mohamad, berkata, dia tidak sangka ribut berlaku selama kira-kira 40 minit kerana sebelum itu, keadaan cuaca hujan renyai-renyai dan berangin.

“Kejadian ribut ini pertama kali berlaku di sini, sejak Felcra dibuka pada 1972 di mana kawasan ini ditanam pokok getah seluas lapan hektar. Akibat kejadian ini, jalan ke kawasan ini juga terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan pembersihan.

“Sebatang pokok getah yang tumbang dianggarkan bernilai di antara RM300 hingga RM500 dan usianya pula di antara tiga hingga lima tahun,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda melibatkan penduduk.

Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim yang ditemui di kawasan kejadian berkata, peserta yang terjejas akibat kejadian itu hendaklah berhati-hati agar pokok getah yang tumbang tidak menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan 'atas angin'.

“Awasi kayu pokok getah yang tumbang, jangan sampai dicuri kerana harga pokok getah berpatutan di dalam pasaran semasa,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Pertanian Risda Segamat, Mohd Zul Faka Mahzan, 32, berharap agar peserta yang terjejas dapat bertemu dengan pegawainya untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

“Saya juga ingin menasihati penduduk yang terjejas supaya jual pokok getah yang musnah kepada pihak yang berminat supaya kerugian yang dialami hari ini (kelmarin) dapat ditanggung. Walaupun tidak banyak, pastinya akan mengurangkan bebanan anda.


“Pihak Risda juga akan menghulurkan sedikit bantuan yang bersesuaian dalam masa terdekat bagi penanaman semula pokok getah yang rosak akibat kejadian ribut ini,” katanya. - Sinar

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:34 am. Fail ini . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Ribut 40 minit

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily