dailyvideo

Reka cipta UTHM terus diiktiraf



JOHOR BAHRU 21 Mei - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya membawa pulang 16 pingat emas, lapan perak dan satu gangsa dalam Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi yang diadakan sempena Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-24 (ITEX 2013) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Awam universiti berkenaan, Shafry Salim berkata, UTHM meraih 16 pingat emas melalui hasil penyelidikan oleh Prof. Dr. Mohd. Zarar Mohd. Jenu, Dr. Muhammad Yusof Ismail, Dr. Soon Chin Fhong, Ahmad Alabqari Ma'Radzi dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE).

Beliau berkata, kemenangan tersebut turut disumbang Prof. Madya Dr. Yusri Yusoff, Prof. Madya Dr. Badrul Omar, Prof. Madya Dr. Mustaffa Ibrahim, Prof. Madya Dr. Zawati Harun, Dr. Hassan Zuhdi Abdullah, Mohd. Zaini Yunos daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

"Prof. Madya Dr. Lee Yee Loon, Dr. Norzila Othman dan Mohd. Ezree Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dan Suriati Suparjoh dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat turut menyumbang kepada kemenangan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lebih 1,000 produk hasil penyelidikan dan inovasi menyertai pertandingan itu yang turut melibatkan peserta daripada institusi pengajian tinggi, syarikat korporat, agensi kerajaan, persatuan inovasi dan individu.

Pertandingan tersebut juga mendapat penyertaan dari pelbagai negara seperti Iran, Korea, Poland, Rusia, Taiwan, Vietnam, Arab Saudi, Filipina, China dan Hong Kong.

Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi itu diadili panel hakim mewakili pihak industri dan pelbagai agensi yang membuat penilaian dalam beberapa aspek.

Antaranya, keaslian idea, pembaharuan dan inovasi yang dilakukan, sumbangan kepada masyarakat serta potensi untuk dikomersialkan.

Terdapat 25 kategori dipertandingkan antaranya pertanian, fabrikasi, bioteknologi, bahan kimia, peralatan pendidikan, elektrik dan elektronik, tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar, peralatan isi rumah, multimedia dan teknologi maklumat serta mesin dan peralatan.

Selain itu, pameran tersebut turut menjadi medium membantu penyelidik mewujudkan kerjasama dan hubungan dengan pihak industri bagi membantu mereka mengkomersial hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan. - Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 12:47 pm. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Reka cipta UTHM terus diiktiraf

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily