dailyvideo

Polis Henti Piket NUBE Kerana Berbau Politik- Timbalan KPN



JOHOR BAHARU, 2 Mei -- Polis Segamat telah diarah untuk menghentikan piket yang dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) semalam kerana didapati berbau politik.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengeluarkan arahan itu berkata jika dibenarkan piket itu berterusan, dikhuatiri ia boleh mencetus kekecohan yang boleh menggugat keselamatan dan keamanan di daerah tersebut.

"Mereka telah memberi notis kepada kita untuk mengadakan piket tetapi mereka bukan mengadakan piket sebaliknya kempen politik," katanya sambil
menambah keadaan itu telah menimbulkan suasana tegang di Segamat sekarang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini selepas meninjau persediaan Polis Kontinjen Johor menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad ini.

Menurut Khalid, NUBE didapati menjemput pihak daripada satu parti yang bertanding untuk berkempen dan mengajak masyarakat di daerah itu agar tidak mengundi seorang lagi calon yang bertanding.

Khalid berkata pihak polis juga mendapati NUBE turut mengedarkan risalah dan memaparkan sepanduk berbau politik.

"Jadi apabila satu lagi pihak tahu, sudah semestinya pihak itu akan berkempen balas. Tindakan ini sudah mengancam keselamatan dan keamanan di  Segamat, jadi kita perlu menghentikan perbuatan NUBE yang kononnya berpiket,"  katanya sambil memberi amaran kepada pihak yang merancang untuk menimbulkan kekecohan atau meraih simpati pengundi.

NUBE turut dilapor merancang untuk mengadakan piket secara berterusan terhadap penyandang kerusi kawasan Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S. Subramaniam kerana beliau dikatakan menyokong pembentukan kesatuan dalaman sebuah bank.

Subramaniam turut berkata piket itu berbau politik.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 9:51 pm. Fail ini , , , , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Polis Henti Piket NUBE Kerana Berbau Politik- Timbalan KPN

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily