dailyvideo

Pergerakan Penumpang Di Lapangan Terbang Di Seluruh Negara Meningkat 9.98 Peratus- Aziz Kaprawi



IPOH, 21 Mei -- Pergerakan penumpang di lapangan terbang di negara ini meningkat kepada 23.95 juta orang bagi tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding 21.78 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata pergerakan penumpang di lapangan terbang yang meningkat 9.98 peratus itu memberi impak besar terhadap perkembangan sektor pengangkutan dan pelancongan di negara ini.

Katanya bagi tempoh tersebut, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mencatat pergerakan penumpang paling tinggi iaitu 14.24 juta penumpang diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (1.97 juta), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (1.62 juta) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (1.4 juta).

"Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan telah dan sedang berusaha untuk membina, menaiktaraf serta mempertingkatkan kemudahan-kemudahan termasuk pelebaran dan pemanjangan landasan di lapangan terbang," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah yang telah dinaiktaraf di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Turut berangkat Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Raja Di Hilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Projek menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dengan kos RM42 juta yang bermula 13 April 2011 telah siap dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Nov tahun lepas.

Aziz berkata adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan semua lapangan terbang di negara ini dilengkapi peralatan serba moden.

"Projek Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah ini juga adalah sebahagian usaha ini dan saya yakin ia dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada penumpang," katanya.

Beliau berharap apabila kemudahan di lapangan terbang itu dinaiktaraf ia dapat menjana ekonomi penduduk setempat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:39 pm. Fail ini , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Pergerakan Penumpang Di Lapangan Terbang Di Seluruh Negara Meningkat 9.98 Peratus- Aziz Kaprawi

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily