dailyvideo

Nasib Kluang di tangan pengundi



KLUANG - Krisis air bersih di Parlimen Kluang yang bakal berakhir dengan pembinaan empangan baharu iaitu Empangan Kahang bernilai RM105 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini terletak di tangan pengundi pada hari pengundian Ahad ini.

Bukan itu sahaja, malah pembangunan penting lain seperti pembinaan kampus cawangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi Fakulti Rel yang pertama di ASEAN dan pembinaan landasan kereta api berkembar yang mampu mengubah ekonomi penduduk dan juga pengundi.

Sekiranya pakatan pembangkang dijadikan pilihan pengundi, maka projek yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu mungkin terpaksa dihentikan kerana dilihat tidak penting.

Hal ini kerana calon yang mewakili pakatan pembangkang di Parlimen Kluang lebih sibuk berfikir untuk menyediakan perkhidmatan bas henti-henti percuma daripada menyelesaikan masalah air dan mencambahkan ekonomi penduduk.

Bagi mempertahankan nasib dan masa depan penduduk Parlimen Kluang, pengundi perlu bijak membuat pilihan iaitu dengan mempertahankan kerajaan pimpinan BN yang telah bekerja keras mendapatkan empangan dan pembangunan lain.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Md. Jais Sarday berkata, calon BN yang terdiri daripada penduduk tempatan perlu dipertahankan bagi menyambung menyelesaikan masalah rakyat.

Selain itu, dakwaan pembangkang bahawa wakil rakyat BN tidak berkhidmat adalah tidak tepat kerana terdapat Kompleks Pekan Rabu yang telah siap dibina selain projek Empangan Kahang yang diusahakan oleh pemimpin BN.

"Saya dan Datuk Hou Kok Chung (penyandang dan calon kerusi Parlimen Kluang) telah bekerja keras demi rakyat dengan mencapai penyelesaian bagi krisis air menerusi pembinaan empangan baharu.

"Malah, pengundi perlu menilai sendiri usaha yang telah dilakukan berbanding mempercayai dakwaan pembangkang yang tidak pernah menabur jasa di Parlimen Kluang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menurut beliau, terdapat dakwaan bahawa usahawan Melayu tidak dapat berniaga di bandar, tetapi masalah itu berjaya diselesaikan apabila Kompleks Perniagaan Pekan Rabu bersebelahan Kluang Mall bernilai RM12.5 juta siap dibina.

Sehubungan itu, ia membuktikan bahawa kepimpinan BN tidak pernah membelakangkan masyarakat, malah sentiasa berfikir untuk kemajuan dan pembangunan jangka panjang.

Selain itu, pembinaan Fakulti Rel UTHM akan memberi peluang kepada penduduk untuk menambah sumber rezeki dengan kehadiran ribuan mahasiswa menerusi penyediaan kedai makan, rumah sewa, kedai runcit, inap desa dan pelbagai lagi.

"Pembinaan landasan kereta api berkembar mendekatkan Kluang dengan bandar besar lain seperti Johor Bahru serta Kuala Lumpur. Dengan ini juga penduduk akan merasai nikmat peningkatan ekonomi.

"Bagi anak muda, BN telah membina 14 gelanggang futsal yang menjadikan Kluang sebagai kawasan Parlimen paling banyak gelanggang tersebut di negeri ini. Semua ini dilakukan oleh wakil rakyat BN," katanya.

Justeru itu, Md. Jais mengingatkan pengundi supaya membuat keputusan bijak dengan mempertahankan hak mereka yang diusahakan BN daripada memilih calon pembangkang yang pastinya akan meninggalkan Kluang selepas menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.


Sumber: Utusan Malaysia

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:40 pm. Fail ini , , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Nasib Kluang di tangan pengundi

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily