dailyvideo

Najib Minta Pengundi Gelang Patah Beri Sokongan Pada Abdul Ghani



JOHOR BAHARU– Perdana Menteri meminta pengundi di Parlimen Gelang Patah supaya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Ghani Othman, yang juga Menteri Besar Johor.

Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan yang memihak kepada BN di Gelang Patah penting kerana ia memberikan mesej yang jelas tentang jenis kerajaan yang mereka mahu di Johor.

“Beri Barisan Nasional peluang sekiranya mahu Johor dibangunkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya pada majlis ramah mesra dengan lebih 5,000 orang di Kolej Universiti Selatan di sini malam ini.

Turut hadir Abdul Ghani dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Perdana Menteri berkata kemenangan pembangkang di Gelang Patah akan mewujudkan budaya politik konfrontasi dan perpecahan yang akan merosakkan suasana harmoni yang sedia terjalin di antara pelbagai kaum di Johor.

Menurut Najib, beliau merupakan seorang kawan kepada penduduk Johor bukan hanya pada ketika ini tetapi sejak daripada dahulu dan mereka boleh mempercayainya.

“Saya adalah sentiasa sama dan bukan orang politik yang berubah-ubah,” katanya yang merujuk kepada pemimpin pembangkang yang sanggup menipu hanya untuk mencapai agenda politik mereka.

Kerusi Gelang Patah menjadi perhatian pada PRU13, Ahad ini, kerana ia menyaksikan pertembungan di antara Abdul Ghani dengan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Najib turut memberi jaminan bahawa kerusi Parlimen Gelang Patah hanya dipinjamkan kepada Umno dan akan dipulangkan semula kepada MCA pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai pendidikan Cina pula, beliau berkata kerajaan BN mempunyai sikap yang liberal terhadapnya dengan menjadikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebahagian daripada sistem pendidikan nasional.

“Di Malaysia, kerajaan Barisan Nasional memberikan kebebasan untuk memilih sistem pendidikan yang mereka mahu,” katanya sambil menambah, beliau juga bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah SJKC di kawasan Iskandar Malaysia.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:53 am. Fail ini , , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Najib Minta Pengundi Gelang Patah Beri Sokongan Pada Abdul Ghani

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily