dailyvideo

Muka baharu ikrar khidmat terbaik



JOHOR BAHRU - Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baru dilantik berikrar menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan adil demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohamad, 54, berkata, beliau berjanji membantu Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaik mungkin memaju dan meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Boleh dikatakan rakyat Johor kini mengalami kejutan selepas tsunami Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Kita tidak sangka masyarakat negeri ini terpedaya dengan taktik kotor pembangkang dengan meniupkan isu perkauman menyebabkan mereka terpedaya dengan tipu helah dan fitnah yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang 18 daripada 46 kerusi DUN.

"Maknanya, mulai sekarang barisan Exco bersama Menteri Besar akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti kelemahan dan mengambil tindakan segera bagi memperbaiki perpaduan rakyat yang tercalar," katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Luar Bandar ditemui selepas Majlis Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Sementara itu, ADUN Johor Lama, Asiah Mohd. Ariff yang dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui cabaran yang sedang menunggu cukup besar dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental untuk mengatasinya.

"Kita berhadapan dengan 18 ADUN pembangkang, ini menuntut kerja keras bagi membolehkan apa jua usaha dan perancangan yang bakal dilaksana sampai ke akar umbi seterusnya rakyat dapat menikmatinya secara menyeluruh.

"Apa pun kita kena bekerja sebagai sebuah pasukan untuk mentadbir urus kerajaan negeri secara berkesan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

ADUN Layang-Layang, Abd. Mutalip Abd. Rahim, 43, yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama pula berkata, banyak perkara harus disemak serta diperhalusi bagi membolehkan masyarakat Islam dan seluruh rakyat negeri ini bersatu padu.

"Saya akan menggunakan pendekatan dakwah bagi mengembalikan kesepakatan rakyat seperti biasa. Apa pun saya mengharapkan umat Islam bertenang dan berfikir secara waras dan jangan sesekali terikut-ikut politik taksub," katanya.

Sementara itu, Datuk Abd. Latiff Bandi pula berterima kasih dan bersyukur kerana dilantik sebagai salah seorang Exco dan berjanji memastikan tanggungjawab dan amanah yang diberi dilaksana sebaik mungkin.

ADUN Endau berkenaan mengakui portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diamanahkan kepadanya merupakan tugas berat namun memberi jaminan akan membuat perancangan terbaik untuk melaksanakannya.

"Kita tahu masalah perumahan menjadi antara perkara penting. Jadi, saya akan membuat perancangan terbaik untuk menangani masalah perumahan dan perkara- perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan," katanya.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 1:37 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Muka baharu ikrar khidmat terbaik

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily