dailyvideo

Malaysia, S’pura Di Peringkat Akhir Perancangan Cadangan Sisten Pengangkutan Berkapasiti Tinggi – Abd Ghani


SINGAPURA, 2 Mei-- Malaysia dan Singapura sedang di peringkat akhir dalam perancangan cadangan sistem pengangkutan transit aliran deras (RTS) yang akan meningkatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa kedua-dua negara telah bersetuju untuk meneruskan cadangan RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan republik ini, dan kedua-duanya mempunyai masa setahun untuk merangka rancangan mengenai pilihan bagi RTS itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kedua-dua negara kini dalam peringkat akhir membuat persiapan bagi RTS itu.

"Cadangan alternatif itu akhirnya akan dibentangkan kepada kedua-dua kerajaan, termasuk reka bentuk dan juga anggaran kos.

"Sebelum akhir tahun, saya menjangkakan kedua-dua kerajaan akan membuat keputusan tentang jenis RTS yang akan dilaksanakan dan ia dijadualkan siap menjelang 2018," katanya kepada pemberita selepas menaiki bas bersama rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura di Terminal Bas Jurong East di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata RTS akan memastikan ramai orang boleh bergerak berulang alik dengan pantas.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan juga sedang cuba meneroka kemungkinan
mengadakan pusat pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantina (CIQ) yang sama seperti di Eropah, yang ada satu perhentian di satu CIQ, "jadi ia juga boleh jadi CIQ bersama."

"CIQ bersama akan mencapai objektif optimum mengadakan kaedah pengangkutan yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura," tegas beliau.

Abdul Ghani berkata semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Singapura bagi Pemukiman Pemimpin dengan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong pada Februari tahun ini, "pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri, yang saya turut bersama, kami telah diberikan taklimat tentang beberapa pilihan (reka bentuk RTS)."

Beliau berkata apabila RTS itu siap, perjalanan di antara Malaysia dan Singapura, sekurang-kurangnya di tambak, pastinya akan lebih cekap, dan ramai orang akan bergerak melalui RTS.

"Ini pastinya akan mengurangkan kesesakan ekoran penggunaan harian tambak atau linkedua," katanya.  

Dikemaskini oleh Johor daily pada 9:45 pm. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Malaysia, S’pura Di Peringkat Akhir Perancangan Cadangan Sisten Pengangkutan Berkapasiti Tinggi – Abd Ghani

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily