dailyvideo

Khaled Nordin Galak EXCO Johor Main Peranan Lebih Besar



JOHOR BAHARU  -- Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baru dilantik semalam akan diberikan peranan yang lebih besar untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam pentadbiran baru kerajaan negeri di bawah kepimpinannya, Exco yang dilantik bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kawasan masing-masing, tetapi juga berperanan membantu mewujudkan hubungan antara daerah dan kawasan di sekeliling mereka.

"Saya akan galakkan Exco supaya memainkan peranan yang lebih besar sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri," katanya kepada pemberita ketika memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Nusajaya di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi mengetuai barisan sembilan Exco mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mohamed Khaled yang memulakan tugasnya hari ini dengan mempengerusikan mesyuarat Exco berkata demikian sebagai mengulas barisan Exco dilantik yang mewakili hampir setiap kawasan di negeri ini.

Sembilan Exco turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim semalam terdiri daripada dua Exco lama yang dilantik semula iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama, Asiah Md Ariff dan Md Jais Sarday (Mahkota).

Tujuh muka baharu yang dilantik adalah Datuk Abd Latif Bandi (Endau); R Vidyanathan (Kahang); Abdul Mutalib Abd Rahim (Layang-Layang); Datuk Zulkurnain Kamisan (Seri Medan); Ismail Mohamed (Bukit Serampang); Datuk Hasni Mohammad (Benut), dan Datuk Tee Siew Kiong (Pulai Sebatang).

Siew Kiong yang juga Ketua MCA Bahagian Pontian merupakan satu-satunya wakil rakyat MCA dilantik menjadi Exco di seluruh negara setelah parti itu membuat ketetapan tidak mahu menerima jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum lepas.

Terdapat satu lagi kekosongan untuk jawatan Exco Johor yang masih belum diisi dan mengulas tentang perkara itu, Mohamed Khaled berkata ia akan ditentukan kemudian selepas mengambil kira kedudukan Adun.

Katanya dalam mesyuarat Exco yang pertama diadakan hari ini, beliau akan meletakkan pandangan hala tuju untuk menjadikan Johor terus berkembang menjadi negeri maju di negara ini.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 2:36 am. Fail ini , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Khaled Nordin Galak EXCO Johor Main Peranan Lebih Besar

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily