dailyvideo

Johor DT perlu hati-hati



Johor Bahru: Johor Darul Takzim (JDT) seharusnya tidak menganggap bekalan 1-0 yang dibawa ke Stadium Darul Makmur, berdepan Pahang pada saingan separuh akhir kedua Piala FA, dua hari lepas  sudah mencukupi.

Malah ‘perang taktikal’ bakal tercetus sama ada pengendali Johor DT Fandi Ahmad atau jurulatih Pahang Dollah Salleh memiliki sentuhan magis bagi membentuk barisan pemain yang mantap dan taktikal berkesan bagi memburu slot ke pentas final Piala FA penghujung, Jun ini.

Apapun skuad Harimau Selatan tampak terpaksa membuat rombakan selepas tonggak utama, Mohd Farid Ramli tidak akan beraksi berikutan digantung satu perlawanan manakala kedudukan kapten Kamarul Afiq Kamaruddin tampak samar untuk berada dalam kesebelasan utama kerana masih belum cergas akibat kecederaan.

“Sama ada Kamarul Afiq akan diturunkan atau tidak semuanya bergantung kepada kecergasan pemain itu. Jadual perlawanan padat menyebabkan pemain mudah mengalami kecederaan dan ada yang keletihan malah selepas aksi pertama separuh akhir tumpuan latihan lebih kepada pemulihan dan hanya sempat membuat taktikal dalam tempoh singkat.

“Jika Kamarul Afiq tidak dapat beraksi, saya akan mempertaruhkan Muslim Ahmad atau Ahmad Tharmimi Saiban bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak bagi membentuk pertahanan mantap kerana kita tahu Pahang akan bermain habis-habisan untuk memburu kemenangan di tempat sendiri.

“Kita tidak akan beraksi dengan corak bertahan sebaliknya akan beri tentangan sengit walaupun sedar agak sukar menewaskan Pahang apabila beraksi di gelanggang keramat mereka namun jika pemain Johor DT beri fokus dan mengikut arahan taktikal, kita mungkin menang,” katanya.

Persoalan kini apakah Fandi akan mengekalkan formasi 4-3-3 atau menukar kepada corak 4-4-2 bagi menguatkan jentera tengah tatkala pada aksi pertama separuh akhir, posisi tengah skuad Harimau Selatan jelas hilang arah apabila skuad Tok Gajah rakus mengasak Johor DT.

Apapun Fandi harus memantapkan posisi bek kiri selepas ketiadaan Mohd Farid tatkala pemain sayap Tok Gajah, R Surendran boleh menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Selatan andai kelicikan dan larian pantas pemain itu tidak disekat.

“Dua pemain sayap Pahang, Surendran dan R Gopinathan berbahaya dan saya mungkin akan meletak sama ada Irfan Abd Ghani beraksi di posisi yang ditinggalkan Mohd Farid untuk mengawal pergerakan Surendran.” 

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:01 am. Fail ini , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Johor DT perlu hati-hati

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily