dailyvideo

Isu warga asing perang saraf Pakatan, kata Muhyiddin



LEDANG - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan kemasukan ramai warga asing ke negara ini tidak akan memberi kesan kerana mereka tidak mempunyai hak dan kelayakan untuk mengundi.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa ada cubaan membawa masuk warga asing sebagai pengundi yang tersebar menerusi khidmat pesanan ringkas dan laman sosial adalah perang saraf pembangkang yang telahpun dijangka BN.

"Mana ada bawa warga asing. Buat apa nak datang ke sini, nak mengundi.

Rakyat Malaysia yang tak berdaftar sebagai pemilih pun tidak boleh undi.

"Warga asing tidak ada kelayakan dari segi kerakyatan. Siapa pun nak bawa beratus ribu masuk Malaysia esok, tidak akan ada kesan.

Kerana kalau mereka pergi ke pusat mengundi, ditanya kad pengenalan, mereka tunjuk IC Bangladesh, mereka akan dihantar balik," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga penduduk Felda Sri Ledang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran SMS dan laporan dalam media sosial bahawa terdapat puluhan ribu rakyat asing termasuk warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini untuk mengundi esok.

Timbalan perdana menteri yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, berkata perang saraf sedemikian menunjukkan pembangkanglah yang sebenarnya tertekan untuk memenangi pilihan raya.

"Mereka fikir rakyat bodoh untuk berfikir bahawa BN hendak menang atas dasar penipuan... buat begitu untuk tunjuk BN sudah begitu tertekan dan terpaksa buat sesuatu yang melanggar undang-undang," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata semua pihak harus faham bahawa pilihan raya mempunyai proses perjalanan yang tersendiri dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan mereka yang tidak berdaftar untuk mengundi.

Sementara itu, mengulas tindakan beberapa pemimpin pembangkang membotakkan kepala sebagai tanda protes kononnya berlaku politik wang pada pilihan raya ini, Muhyiddin menyifatkannya sebagai usaha meraih simpati daripada pengundi.

Menyifatkan tindakan itu sebagai luar biasa, beliau mahu pengundi bersikap rasional dan bijak membuat keputusan.

Di Skudai, Penasihat DAP Lim Kit Siang - yang akan berhadapan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Gelang Patah -- dan menantunya Betty Chew turut mengambil bahagian bersama-sama penyokong DAP membotakkan kepala masing-masing.

Dalam reaksinya, Muhyiddin berkata: "(mereka) hendak simpati atas dasar apa? Pengundi di Gelang Patah tahu siapa Abdul Ghani, siapa Kit Siang. Tanya balik apa Kit Siang dah buat di Gelang Patah. Dia baru lagi di sini, Abdul Ghani dah 18 tahun di Johor.

"Segala bentuk pembangunan terutama di Gelang Patah adalah usaha beliau (Abdul Ghani) didukung kerajaan pusat. Kalau dikira dari sudut itu, sekarang ini siapa yang perlu simpati kepada siapa," tegas timbalan perdana menteri. 

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:03 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Isu warga asing perang saraf Pakatan, kata Muhyiddin

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily