dailyvideo

Hasrat Dan Harapan Rakyat Johor Dikumpul Untuk Direalisasikan – Mohamed Khaled


PASIR GUDANG – Kerajaan negeri Johor akan mendapatkan input daripada rakyat bagi mengetahui hasrat dan harapan mereka terhadap kerajaan berhubung usaha membangunkan negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata satu mekanisme akan diperkenalkan bulan depan bagi mengumpul hasrat dan harapan rakyat untuk dikategorikan.
“Selepas itu kita akan pilih tujuh hingga lapan pernyataan yang mempunyai persamaan untuk kita realisasikan.
“Ini kerana saya terajui negeri ini bukan untuk menterjemah hasrat saya tetapi hasrat rakyat dan untuk itu saya perlu tahu apakah yang mereka kehendaki untuk berlaku di negeri ini dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pusat boling di Kompleks Pasir Gudang baru-baru ini.
Katanya bagi memastikan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinannya, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diminta mengemukakan perancangan dan sasaran portfolio masing-masing dalam tempoh tiga bulan.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di negeri ini terus berkembang pesat supaya nikmatnya dapat dikecapi setiap lapisan rakyat di negeri ini.
“Tanggungjawab menjana ekonomi bukan sahaja akan dipikul oleh kerajaan negeri, tetapi juga pihak berkuasa tempatan selain menjadi pemudah cara kepada usahawan-usahawan yang baru hendak menceburkan diri,” katanya.
Dengan cara memberikan pengecualian dan kelonggaran tertentu, ia akan membolehkan usahawan baharu mengembangkan perusahaan atau perniagaan mereka.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga mementingkan pembangunan secara holistik dengan tidak hanya mementingkan pembangunan infrastruktur tetapi juga memberi perhatian kepada kebahagiaan rakyat dan pembangunan kemanusiaan.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengisi kekosongan jawatan dalam ahli majlis kerajaan tempatan ekoran peletakan jawatan Ahli Majlis Tempatan MCA yang dilantik sebelum ini.
Walaupun sedikit sebanyak ia menjejaskan perkhidmatan yang selama ini diberikan ahli majlis daripada MCA, namun beliau yakin setiap pihak berkuasa tempatan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk masalah tersebut.

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:16 am. Fail ini , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Hasrat Dan Harapan Rakyat Johor Dikumpul Untuk Direalisasikan – Mohamed Khaled

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily