dailyvideo

Exco Johor diberi tempoh 100 hari



PASIR GUDANG - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu semua Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baru dilantik mengemukakan perancangan dan sasaran masing-masing dalam tempoh 100 hari.

Mohamed Khaled berkata, beliau kini sedang melalui pelbagai taklimat oleh jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri mahupun Pusat yang terdapat di Johor.

“Ia bertujuan untuk saya faham struktur organisasi kerajaan dan pencapaian-pencapaian yang telah didapati sekarang.

“Dalam sedikit masa lagi, saya juga akan mendapatkan input daripada rakyat iaitu melibatkan soal apakah hasrat dan impian mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasir Gudang Bowling di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, baru-baru ini.

Beliau juga sedang menyusun pendekatan terbaik untuk mendapatkan input mengenai perkara sebenar yang menjadi perhatian besar rakyat negeri ini.

“Kita mahu memahami mereka dengan menyusun dan memberi fokus kepada keutamaan dan membangunkan penyelesaian terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh rakyat.

“Jadi mungkin kita akan pilih tujuh atau lapan perkara yang menjadi persamaan. Kita hendak kepimpinan kerajaan negeri bukan untuk terjemah hasrat saya, tetapi menterjemah hasrat dan impian rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dijangka melancarkan satu mekanisme bagi mengutip hasrat dan harapan rakyat pada awal bulan depan.

“Dari situ, kita akan kumpul dan kategorikan perkara ini dengan usaha-usaha yang akan kita lakukan berdasarkan hasrat dan harapan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain,  beliau berkata, kuota Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini yang dikosongkan wakil daripada MCA tidak akan diisi dalam masa terdekat.

Katanya, kekosongan itu tidak akan diisi sekiranya ia tidak menjejaskan korum bagi sesebuah PBT.

“Dari segi tempoh khidmat Ahli Majlis yang sedia ada, kita telah lanjutkan sehingga akhir tahun ini.

"Bagi kekosongan yang berlaku kerana peletakan jawatan atau penarikan diri daripada wakil MCA, kita tidak akan isi.

“Di Johor, peletakan atau penarikan diri wakil daripada MCA tidak menjejaskan mana-mana korum PBT,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled mengakui kekosongan itu akan menjejaskan perkhidmatan PBT yang sebelum ini disediakan oleh Ahli Majlis daripada wakil MCA.

Bagaimanapun, beliau percaya setiap PBT akan mengkaji langkah bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya percaya setiap PBT akan mengkaji bagaimana untuk menampung kekosongan atau kelemahan itu,” katanya.

-Sinar Harian

Dikemaskini oleh Johor daily pada 8:21 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Exco Johor diberi tempoh 100 hari

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily