dailyvideo

BN Ulangi Pencapaian Majoriti 2/3 Untuk Perintah Johor



JOHOR BAHARU, 6 Mei -- Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan memenangi 37 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun mencapai kemenangan majoriti dua pertiga, buat pertama kali kubu kuat BN ini hilang 19 kerusi DUN berbanding enam pada pilihan raya umum 2008.

Pengerusi BN Johor Datuk Abdul Ghani Othman menganggap keputusan terburuk bagi negeri itu adalah kerana sikap pengundi yang emosi dan tidak rasional.

"Mengundi dengan keadaan emosi itu telah menyebabkan berlakunya polarisasi di kawasan-kawasan bandar.

"Polarisasi telah muncul di Johor khasnya di kawasan bandar dan pekan yang digambarkan melalui keputusan PRU13 ini," kata Abdul Ghani pada sidang media di Pusat Konvensyen Persada Johor di sini.

Beliau berkata sesetengah pihak berjaya memprovokasi pengundi dengan memainkan isu-isu nasional.

Abdul Ghani yang bertanding di kerusi yang paling panas di kawasan Parlimen Gelang Patah tewas kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi.

Turut hadir calon yang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Menteri Pengajian Tinggi, menyifatkan kekalahan Abdul Ghani, bekas Menteri Besar Johor, sesuatu yang amat mendukacitakan.

Katanya, jentera BN Parlimen Gelang Patah telah berusaha gigih sepanjang tempoh pilihan raya umum namun pasrah kerana kemenangan tidak berpihak pada BN.

"Namun saya mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pengundi yang telah memilih BN untuk terus menerajui negeri Johor dan negara," katanya.

Mohamed Khaled berkata mandat yang telah diberikan itu akan digunakan sebaiknya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Beliau memenangi kerusi DUN Permas dengan mengalahkan calon PAS Syed Othman Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.

Selain kerusi DUN, BN Johor berjaya merangkul 21 kerusi Parlimen berbanding 25 pada 2008. BN kalah kerusi Parlimen Bakri, Batu Pahat, Kluang, Gelang Patah dan Kulai.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh apabila mengalahkan pencabaranya dari PAS Mohd Rozali Jamil dengan majoriti 12,842 undi.

Menteri Sumber Manusia merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mempertahankan kerusi Parlimen Segamat dengan mengatasi  calon PKR Datuk Chua Jui Meng dengan majoriti 1,217 undi.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Fuad Zarkashi gagal mengekalkan kerusi Parlimen Batu Pahat apabila kalah kepada calon PKR Mohd Idris Jusi dengan majoriti 1,732 undi.

Dalam pada itu, calon BN, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,
Chua Tee Yong, yang juga anak kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Sok Lek, menang kerusi Parlimen Labis dengan menewaskan calon DAP, S.Ramakrishnan dengan majoriti tipis 353 undi.  

Dikemaskini oleh Johor daily pada 11:34 am. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for BN Ulangi Pencapaian Majoriti 2/3 Untuk Perintah Johor

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily