dailyvideo

Angkat sumpah MB di Bukit Timbalan


JOHOR BAHRU - Johor bakal mencipta satu lagi sejarah apabila majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor akan diadakan di luar Istana Besar memandangkan istana itu kini dalam proses baik pulih dan hanya siap pada penghujung tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil berkata, majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco yang baharu akan berlangsung di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan dan dijangka diadakan pada minggu ini.

"Majlis itu hanya akan dilakukan selepas Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tuanku perkenan dengan nama Menteri Besar tersebut.

"Ini kerana di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895, kuasa melantik Menteri Besar dan juga Exco adalah di bawah kuasa Tuanku," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan dan raptai majlis berkenaan di Bangunan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor yang baharu hanya akan dilakukan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam masa terdekat.

Sebelum ini, nama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) disebut-sebut bakal menggantikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Mohamed Khaled yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas berjaya menewaskan calon Pas, Syed Othman Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.

Bagaimanapun, Abdul Ghani yang bertanding di Parlimen Gelang Patah tewas kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi.

Kerusi Menteri Besar Johor kosong setelah Abdul Ghani tidak mempertahankan kerusi DUN Serom yang diwakilinya sebelum ini.

-Utusan Malaysia

Dikemaskini oleh Johor daily pada 7:59 pm. Fail ini , , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Angkat sumpah MB di Bukit Timbalan

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily