dailyvideo

Ali Mazat selesa dengan imej kampung, senang didekati



Kulai - Felda Taib Andak mencipta populariti tersendiri apabila Mawi dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasi musim ketiga (AF3). Jadi, adakah saudara pernah mengundi perjuangan Mawi ketika bertanding dalam program realiti tersebut?

Ali Mazat: Pada ketika nama Mawi muncul, saya merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan. Saya sendiri yang menguruskan rombongan penduduk Felda Taib Andak menonton persembahannya di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Bukan itu sahaja, saya dan penduduk berjaya memasang skrin besar untuk sama-sama menyaksikan persembahan final AF3 di kawasan lapang di sini dan kami tidak lokek untuk mengundi Mawi bagi memastikan kemenangannya pada malam tersebut.

Malah, kami sekampung turut mengadakan kenduri kesyukuran untuk meraikan kejayaan Mawi itu dan berbangga nama Felda Taib Andak mula dikenali. Hingga kini, jika saya ke Kuala Lumpur, kalau berkelapangan, saya akan berjumpa Mawi di restoran sambil berbual-bual perkembangan semasa masing-masing.

Keperibadian Mawi sebagai anak kampung yang naif dan lucu dalam program AF merupakan antara faktor menyumbang kemenangannya. Mungkin itu adalah strategi Mawi.

Adakah saudara juga seperti itu dan sejauh mana personaliti sebegitu membantu untuk menambat hati pengundi DUN Bukit Permai?

Dunia politik dan seni adalah dua bidang yang berbeza. Setiap satu mempunyai audiens yang berbeza, sekali gus memerlukan strategi berlainan untuk menambat hati pengundi.

Akan tetapi, saya tidak nafikan ada ahli keluarga dan rakan rapat pernah mengatakan saya seorang yang lucu dan suka bergurau. Mungkin dengan cara itu, ia lebih mudah untuk menjalin hubungan silaturahim. Bagaimanapun, apabila bekerja, saya selalu fokus dan mahukan kesempurnaan dalam setiap aspek.

Lazimnya, ahli politik dan ahli perniagaan terutamanya lelaki tidak memikirkan sangat perihal fesyen. Cukup sekadar kemas dan sesuai mengikut majlis.

Saya akui fesyen tidak begitu penting dalam hidup saya. Paling penting, pakaian itu bersih. Bukannya untuk menyedapkan mata orang lain tetapi selesa dengan empunya badan.

Bagi individu yang tidak mengenali secara dekat, mungkin ramai yang tidak percaya bahawa saudara merupakan bekas jurutera di sebuah syarikat terkenal.

Sejak zaman universiti lagi, ramai rakan yang sifatkan saya seorang yang sombong dan bengis hanya kerana memiliki raut muka sebegitu. Namun lama kelamaan, mereka sudah boleh menyesuaikan diri untuk berkawan dengan saya.

Sekarang, apabila menjadi ahli politik, saya cuba untuk 'melebihkan' senyuman bagi mengelakkan tanggapan buruk pengundi mahupun rakan politik.

Seandainya saudara bukan seorang jurutera, apakah pekerjaan atau bidang yang mungkin diceburi?

Selain bidang kejuruteraan, saya juga meminati bidang latihan atau menjadi pakar motivasi. Bidang ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi kisah hidup dari 'zero to hero'. Saya bukan mahu berbangga diri tetapi itulah hakikatnya.

Saya suka membina semangat anak-anak muda yang perlukan motivasi untuk mengubah diri mereka menjadi insan yang berjaya, sekali gus berkhidmat kepada nusa dan bangsa.

Siapa tokoh pemimpin sama ada dari luar atau dalam negara yang mempengaruhi karier politik saudara?

Saya sukakan ketokohan yang dimiliki oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam kerana pendiriannya yang teguh. Beliau juga bijak mentafsirkan keperluan politik orang kampung dan kehendak politik orang bandar.

Saya juga mungkin dipengaruhi oleh kepimpinan bapa saya yang suatu ketika dahulu aktif berpolitik ketika Tun Musa Hitam bergelar Ahli Parlimen Panti (kini DUN Panti).

Imej saudara boleh dikatakan seperti orang kampung moden. Sejauh mana ia membantu saudara untuk mengekalkan kemenangan BN di DUN Bukit Permai?

Saya seorang yang berpijak di bumi nyata. Bagaimana saya dibentuk, begitulah yang akan saya kekalkan. Beralih angin ke arah politik tidak bermakna saya perlu beretorik.

Saya akan membawa watak diri saya yang sebenarnya iaitu Ali Mazat bin Salleh. Tidak perlukan suntikan imej ahli politik lain kerana saya merasakan ia bersesuaian dengan suasana politik di DUN Bukit Permai.

Selagi ia selesa di mata saya dan pengundi, selagi itulah saya akan kekal begini dan ia lebih mendekatkan jurang antara pemimpin dan rakyat.

Sumber: Utusan

Dikemaskini oleh Johor daily pada 9:15 am. Fail ini , , , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for Ali Mazat selesa dengan imej kampung, senang didekati

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily