dailyvideo

800 sertai Karnival Sukarelawan Siswa di Permas Jaya



JOHOR BAHRU 1 Mei - Karnival Sukarelawan Siswa yang disertai kira-kira 800 penuntut dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini dilihat sebagai platform terbaik menanam semangat kemasyarakatan dalam kalangan penuntut terlibat.

Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Zuraidah Atan berkata, program kesukarelaan itu mampu meningkatkan kemahiran komunikasi antara penuntut dengan masyarakat sekitar selain memupuk nilai kehidupan berkomuniti.

"Menerusi karnival ini, kita mendedahkan para penuntut dengan pelbagai kemahiran antaranya konsep bermasyarakat kerana kemahiran tersebut yang akan mereka gunakan ketika masing-masing sudah memasuki alam pekerjaan.

"Karnival kali ini diadakan selama sehari dengan menyediakan pelbagai aktiviti kepada masyarakat setempat. Antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna dan banyak lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis itu yang diadakan di Rumah Pangsa Permas Jaya dekat sini, dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan turut dihadiri calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Antara IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Kolej Komuniti Pasir Gudang.

Tambah Zuraidah, meskipun baru ditubuhkan tahun lalu yayasan itu telah banyak melaksanakan karnival yang mempunyai objektif merapatkan hubungan antara penuntut dan masyarakat selain memberi pendidikan secara terus kepada umum mengenai kesihatan dan persekitaran.

Menurutnya, aktiviti tahunan itu juga berjaya mendedahkan golongan penuntut dengan aktiviti kesukarelaan di dalam dan luar negara.


Sumber: Utusan Malaysia

Dikemaskini oleh Johor daily pada 1:02 pm. Fail ini , . Anda juga boleh maklumbalas dengan menggunakan RSS 2.0

0 comments for 800 sertai Karnival Sukarelawan Siswa di Permas Jaya

Leave comment

Recent Entries

Recent Comments



Hakcipta Terpelihara 2013 | Johor Daily
Struktur Web oleh Johor Daily